JENAYAH & MAHKAMAH

Pengarah urusan didenda RM150,000

Insiden resort runtuh di Pulau Perhentian November lalu

BESUT – Pengarah urusan resort di Pulau Perhentian dekat sini yang runtuh sehingga meragut dua nyawa pada November lalu dikenakan hukuman denda RM150,000, hari ini.

Keputusan itu dijatuhkan oleh Hakim, Ahmad Fadhli Mahmud selepas Orang Kena Saman (OKS) iaitu Pengarah Urusan Malee Beach Resort, Lee Boon Han, 55, membuat pengakuan bersalah selepas pertuduhan dibacakan.

Mahkamah turut mengarahkan OKS dipenjara enam bulan sekiranya gagal membayar denda.

Kesalahan dilakukan di kawasan pembinaan projek Male Beach Resort Chalets di Pulau Perhentian Kecil, Besut, pada pukul 1 pagi hingga 5 pagi, 9 November tahun lalu.

Mengikut pertuduhan, Boon Han didakwa melanggar kewajipan memastikan keselamatan projek dengan membina premis Malee Beach Resort menggunakan lukisan konsep disediakan pelukis bebas tidak mempunyai perakuan daripada perunding bertauliah.

Boon Han turut didakwa membina bangunan dewan makan resort berkenaan tanpa kelulusan dan kebenaran merancang daripada Majlis Daerah Besut (MDB) serta tidak melaksanakan siasatan tanah di tapak binaan dan tidak menyediakan laporan kesan alam sekitar (EIA).

OKS turut didakwa menggaji penyelia tapak dan pekerja yang tidak mahir dan tidak memiliki perakuan kemahiran dan akreditasi daripada Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan (CIDB).

Dalam kejadian pada 9 November itu, dua buruh binaan maut manakala lima lagi cedera parah selepas tertimbus dalam runtuhan tapak pembinaan restoran setinggi tiga tingkat sebuah resort di Pulau Perhentian.

Pendakwaan dilakukan Pegawai Pendakwa CIDB, Muhammad Hafidz Hassan manakala tertuduh diwakili peguam, Hayder Yazid.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button