Peguam Negara diminta segera menghadap Agong – Anwar
SHAH ALAM – Peguam Negara, Tan Sri Mohd Dusuki Mokhtar sudah diminta menghadap segera Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim bagi menjelaskan isu pelaksanaan tahanan rumah bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, Peguam Negara perlu memberikan penjelasan terperinci mengenai isu berkenaan, khususnya berhubung kes kedua membabitkan 1Malaysia Development Berhad (1MDB).
“Saya telah meminta supaya Peguam Negara segera menghadap Yang di-Pertuan Agong untuk memohon ampun dan menjelaskan mengapa keputusan itu diterima untuk kes SRC, tetapi ada masalah kerana melibatkan kes kedua iaitu kes 1MDB,” katanya selepas hadir pada sambutan November Bulan Keluarga Kebangsaan 2026, di sini hari ini.
Anwar turut menegaskan, kuasa Yang di-Pertuan Agong tidak pernah dipertikaikan, sebaliknya perkara yang perlu diperjelaskan adalah berhubung pelaksanaan titah berkenaan dalam konteks kes 1MDB.
Menurutnya, perkara itu memerlukan penelitian lanjut sebelum keputusan muktamad dibuat.
“Yang pertama, soal kuasa Yang di-Pertuan Agong tidak dipertikai. Itu dalam kes SRC sebagaimana yang disebut dalam Lembaga Pengampunan.
“Kes berbangkit adalah dalam kes yang kedua, apakah boleh dilaksanakan atau tidak. Ini keputusan yang akan dimuktamadkan oleh Peguam Negara dan badan kehakiman, itu sahaja,” katanya lagi.
Laporan media sebelum ni menyebut, Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim menitahkan supaya bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak menjalani baki hukuman penjara secara tahanan di rumah, selaras dengan pengampunan bersyarat yang diperkenankan baginda pada 18 September lalu.
Baginda bertitah, semua syarat dalam perintah pengampunan bersyarat itu sudah dipenuhi dan pelaksanaannya tidak sepatutnya menimbulkan kekeliruan atau ketidakpastian berpanjangan.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |














