JENAYAH & MAHKAMAH

Pemandu rempuh 4 sekeluarga mengaku bersalah, didenda RM6,000

KUALA LUMPUR – Pemandu kenderaan pacuan empat roda jenis Ford Ranger yang merempuh empat sekeluarga yang menaiki motosikal di Lebuh Raya Sungai Besi mengaku bersalah selepas didakwa di Mahkamah Trafik Jalan Duta, di sini.

Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Kuala Lumpur, ACP Sarifudin Mohd Salleh berkata, pemandu motokar tersebut yang berumur 22 tahun telah dituduh pada hari ini di bawah Seksyen 43 (1) APJ 1987 (memandu tanpa kecermatan dan tidak bertimbang rasa terhadap orang lain).

“Pemandu itu telah mengaku bersalah dan dikenakan hukuman denda RM6,000 dengan seorang penjamin warganegara.

“Sekiranya gagal membayar denda akan dikenakan empat bulan penjara,” katanya dalam satu kenyataan.

Dalam pada itu Sarifudin berkata, kesalahan tersebut turut diendorskan pada lesen pemandu itu.

Semalam tular di laman sosial rakaman video kamera papan pemuka (dashcam) memaparkan motosikal dinaiki dua orang dewasa bersama dua kanak-kanak dihimpit sebuah kenderaan yang menukar lorong secara tiba-tiba.

Akibat kejadian itu, kesemua mangsa yang berusia lima hingga 34 tahun cedera ringan dan telah mendapatkan rawatan di Hospital Serdang, di sini.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button