Kastam rampas barang seludup lebih RM2 juta
SEREMBAN – Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Negeri Sembilan menumpaskan kegiatan penyeludupan rokok dan minuman keras menerusi dua serbuan berasingan pada 26 Oktober melibatkan nilai termasuk duti berjumlah RM2.56 juta.
Pengarahnya, Jamal Paiman berkata, rampasan itu melibatkan pelbagai barangan bernilai RM359,271 dengan nilai duti RM2.2 juta.
Katanya, antara barangan dirampas ialah 3,008,200 batang rokok pelbagai jenama, 2,910.64 liter minuman keras, 221 unit barangan elektrik serta sebuah mesin pembungkusan.
“Serbuan pertama melibatkan pasukan Cawangan Operasi, Bahagian Penguatkuasaan JKDM Negeri Sembilan menahan sebuah van Daihatsu di lorong belakang bangunan kedai di Taman Sejahtera, Kuala Lumpur pada kira-kira 3 petang yang dipercayai terlibat mengedar barang seludup untuk pasaran tempatan.
“Pemeriksaan menemukan 10,000 peket bersamaan 200,000 batang rokok pelbagai jenama disyaki barang larangan import di bawah Perintah Kastam (Larangan Mengenai Import) 2023 dengan nilai sitaan rokok dan van dianggarkan RM36,000 serta duti sebanyak RM138,000,” katanya memetik laporan Bernama, hari ini.
Jamal berkata, pihaknya menahan seorang lelaki tempatan berusia 42 tahun bagi membantu siasatan kes itu.
Beliau berkata, serbuan kedua di sebuah premis di kawasan sama pada 4 petang pula menemukan 1,370 botol minuman keras pelbagai jenama, tin arak (4,824), 244 kotak mengandungi 2,808,200 batang rokok pelbagai jenama serta 221 barangan elektrik pelbagai jenis disyaki barang seludup.
Semua barangan itu disita mengikut Seksyen 114 Akta Kastam 1967 dan kes disiasat mengikut Seksyen 135(1)(d) serta Seksyen 135(1)(e) akta sama.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |














