PRN Melaka: Tanah terbiar perlu dimanfaatkan, elak dikuasai warga asing
MELAKA – Tanah terbiar di daerah Alor Gajah, khususnya Masjid Tanah dan Jasin, perlu dimanfaatkan secara lebih menyeluruh bagi memperluas aktiviti pertanian serta mengelakkan kawasan berkenaan diusahakan warga asing.
Pengerusi Pakatan Harapan (PH) Melaka, Adly Zahari berkata, kebanyakan tanah yang belum diusahakan di negeri ini tertumpu di dua daerah berkenaan dan berpotensi dimajukan untuk tanaman jangka pendek seperti tanaman kontan dan cili.
Menurutnya, kerajaan negeri sebelum ini pernah mengusahakan hampir 30 ekar tanah milik Yayasan Melaka untuk tanaman kontan ketika PH mentadbir negeri itu.
“Walaupun sebahagian tanah kerajaan diperuntukkan untuk perancangan pembangunan akan datang, ia masih boleh dimanfaatkan sementara waktu dengan aktiviti pertanian yang bersifat jangka pendek,” katanya ketika menjawab soalan media pada sidang media di Bilik Gerakan Utama PH Melaka di sini hari ini.
Adly berkata, tanah wakaf yang tidak digunakan dalam tempoh panjang juga perlu dimaksimumkan penggunaannya, termasuk melalui kaedah sewaan atau kerjasama dengan pengusaha pertanian.
“Pendekatan itu bukan sahaja dapat mengelakkan pembaziran sumber tanah, malah membuka peluang kepada golongan muda untuk menceburi sektor pertanian,”katanya.
Beliau berkata, sebahagian penanam sayur di Melaka sudah menyewa tanah kerajaan sejak hampir 20 hingga 30 tahun lalu, sekali gus menunjukkan keperluan kerajaan menyediakan lebih banyak tapak pertanian untuk generasi baharu.
“Cabaran kita adalah bagaimana kerajaan boleh menyusun kepada generasi muda ini untuk menyediakan lebih banyak tapak dan ruang tanaman supaya mereka boleh melaksanakan aktiviti pertanian pada skala yang betul serta menggunakan teknologi bersesuaian,” katanya.
Menurutnya, usaha itu perlu disokong dengan tiga aspek utama iaitu pengetahuan dalam bidang pertanian, keupayaan pemasaran hasil sendiri serta tumpuan terhadap keterjaminan makanan.
Mengulas lanjut, Adly berkata, kegagalan menyediakan peluang kepada anak muda untuk mengusahakan tanah menyebabkan sebahagian kawasan pertanian akhirnya dimanfaatkan warga asing.
Beliau memberi contoh di Permatang Pasir apabila beberapa kawasan sawah ditanam serai oleh warga Bangladesh secara sambilan selepas mereka selesai bekerja.
“Apabila saya ke Permatang Pasir, saya melihat banyak sawah diusahakan dengan tanaman serai. Apabila bertanya kepada penduduk kampung, mereka memaklumkan kawasan itu diusahakan warga Bangladesh yang menjadikannya kerja sambilan selepas pulang daripada bekerja,” katanya.
Selain itu, beliau mendakwa terdapat juga tanah yang diluluskan kepada warga tempatan tetapi kemudiannya disewakan atau dipajakkan kepada warga asing akibat kelemahan dari segi ketelusan sistem pengurusan tanah.
Justeru, katanya, kerajaan perlu memastikan pengagihan dan penggunaan tanah pertanian dilaksanakan secara lebih telus bagi menjamin peluang kepada rakyat tempatan, khususnya golongan muda.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |














