BERITA SEMASA

Sindiket cap imigresen palsu kaut untung RM15,000 sebulan

PUTRAJAYA – Sindiket pemalsuan cap keselamatan Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) dipercayai mampu mengaut keuntungan sehingga RM15,000 sebulan menerusi penjualan cap palsu pada harga RM70 hingga RM100 setiap satu.

Kegiatan itu terbongkar selepas JIM menahan tiga individu terdiri daripada seorang lelaki tempatan dan dua wanita warga Thailand dalam operasi khas di Kajang dan Pandan Perdana, Kuala Lumpur pada 3 November lalu.

Siasatan awal mendapati sindiket berkenaan menggunakan modus operandi memalsukan cap keselamatan endosmen imigresen yang dikeluarkan di pintu masuk Bangunan Sultan Iskandar (BSI).

JIM dalam kenyataan memaklumkan, kegiatan itu dipercayai menyasarkan warga asing yang berada di negara ini tanpa pas sah atau telah tinggal melebihi tempoh dibenarkan, khususnya warga Thailand.

Menurutnya, sindiket berkenaan mempromosikan perkhidmatan pemalsuan itu menerusi aplikasi WhatsApp bagi mendapatkan pelanggan.

“Pelanggan hanya perlu menghantar pasport tanpa bersemuka bagi mengelakkan identiti mereka dikesan, selain terdapat kemungkinan sesetengah pelanggan tidak menyedari cap keselamatan yang tertera pada pasport mereka adalah palsu,” katanya.

Operasi tersebut dilaksanakan hasil risikan selama sebulan di dua lokasi kediaman yang dipercayai dijadikan tempat kegiatan sindiket berkenaan.

Ketiga-tiga suspek yang ditahan berusia antara 40 hingga 45 tahun.

Dalam serbuan itu, JIM turut merampas dua cap keselamatan endosmen pas lawatan palsu, satu cap keselamatan endosmen keluar palsu, kepingan getah cap, dua cap tarikh dan lima pad dakwat.

Turut dirampas enam pasport Thailand, satu pas sempadan Thailand, lima telefon bimbit, dua buku catatan serta kunci premis.

JIM berkata, lelaki tempatan terbabit disiasat mengikut Seksyen 56(1A)(c), manakala dua wanita warga Thailand disiasat mengikut Seksyen 56(1)(l) Akta Imigresen 1959/63.

“Semua suspek dibawa ke pejabat imigresen untuk tindakan lanjut,” katanya.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button