Pelajar sekolah swasta maut nahas motosikal di Cyberjaya
CYBERJAYA – Seorang pelajar sebuah sekolah swasta maut selepas motosikal ditunggangnya dipercayai hilang kawalan sebelum terbabas di Jalan CV 4 Cyber Valley, di sini semalam.
Ketua Polis Daerah Sepang, Asistan Komisioner Norhizam Bahaman berkata, ketika kejadian remaja lelaki berusia 16 tahun itu dalam perjalanan dari sebuah sekolah antarabangsa menuju ke rumahnya pada 6.30 pukul petang.
Menurut beliau, motosikal ditunggang mangsa kemudian hilang kawalan lalu terbabas dan jatuh di atas permukaan jalan raya.
“Akibat daripada kemalangan itu, penunggang motosikal tersebut mengalami kecederaan parah di kepala dan disahkan meninggal dunia di tempat kejadian oleh penolong pegawai perubatan Hospital Cyberjaya,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Beliau berkata, kes disiasat dan diklasifikasikan di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
Dalam pada itu, beliau menasihati orang awam agar tidak membuat sebarang spekulasi yang boleh mengganggu siasatan pihak polis.
“Orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat semasa kejadian itu berlaku diminta hadir ke balai polis berhampiran atau menghubungi pegawai penyiasat, Inspektor Amira Abu Hassan menerusi talian 019-602 6596 atau 03-8777 4264,” katanya.
Terdahulu, tular di platform Threads, seorang wanita dipercayai ibu mangsa meraung ketika memangku anaknya di lokasi kejadian.
“Betulkah anak saya dah meningggal encik? Tolong check lagi sekali lagi,” katanya seperti yang dikongsi pengguna @dean_musthafa.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |














