BERITA SEMASA

Hubungan baik dengan China, Amerika demi lindungi kepentingan rakyat

MELAKA – Kerajaan akan terus menjalinkan hubungan baik dengan semua negara termasuk China dan Amerika Syarikat bagi memastikan kepentingan serta kebajikan rakyat Malaysia terus terpelihara.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, hubungan diplomatik dengan negara kuasa besar bukan bermaksud kerajaan mengabaikan kepentingan negara, sebaliknya menjadi pendekatan untuk membuka ruang kerjasama dan membawa manfaat kepada rakyat.

Beliau berkata, pendirian kerajaan untuk bersahabat dengan semua negara termasuk China dan Amerika Syarikat adalah sebahagian daripada dasar luar yang diamalkan ketika ini.

“Orang marah saya, saya baik dengan China. Memang baik. Saya mahu lindungi rakyat.

“Ya, saya baik dengan Xi Jinping. Saya baik dengan Malaysia. Apa masalah? Kita boleh tolong rakyat,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada program Malam Harapan di Sekolah Menengah (SM) Pay Fong, di sini, hari ini.

Menurut Anwar, pendekatan itu turut membuahkan hasil apabila Malaysia berjaya memperoleh komitmen pelaburan daripada Amerika Syarikat berjumlah RM61 bilion.

“Ini dasar kita. Kita baik dengan China, kita baik dengan Amerika, kita baik dengan Malaysia untuk jaga rakyat kita. Ini saya boleh buat sebab kita kerjasama berpandukan (kepentingan rakyat),” katanya.

Dalam perkembangan sama, beliau turut menyentuh amalan kerjasama dalam Kerajaan Perpaduan yang menurutnya perlu mengutamakan perbincangan dan kesepakatan berbanding pertelingkahan terbuka.

Katanya, menteri yang mempunyai perbezaan pandangan dalam sesuatu perkara boleh membangkitkannya menerusi mesyuarat Kabinet untuk dibincangkan secara bersama.

“Kalau tak setuju, cakap dalam Kabinet. Esok pagi, pukul 9 ada mesyuarat. Pukul 9 sampai 12, tiga jam, cakap. Ini politik baharu kita,” katanya.

Beliau berkata, perbezaan pandangan dalam kalangan pemimpin tidak seharusnya diperbesarkan sehingga mencetuskan perbalahan, apatah lagi apabila ia tidak semestinya berkaitan dengan perbezaan kaum.

Anwar turut mengingatkan masyarakat supaya menerapkan nilai kebaikan dalam diri anak-anak sejak kecil agar mereka membesar sebagai generasi berilmu dan mampu menyumbang kepada negara.

Pendidikan bukan sekadar untuk melahirkan individu yang bijak, malah perlu disertai pembentukan akhlak dan sikap saling menghormati.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button