Anwar tegur Hadi, jangan permainkan agama isu CSA
MELAKA – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menegur Presiden PAS, Tan Sri Abdul Hadi Awang supaya lebih mengawal kenyataan susulan dakwaannya yang menyifatkan perjanjian kerjasama rentas parti (CSA) sebagai perjanjian Dajjal.
Menurut Anwar, Abdul Hadi yang disifatkan sebagai seorang alim sepatutnya lebih berhati-hati dalam mengeluarkan kenyataan, terutama apabila membabitkan isu agama.
“Tan Sri Hadi itu orang alim, sepatutnya kenyataan dia lebih terkawal.
“Untuk menghukum orang atau kumpulan atau sesuatu pendirian sebagai Dajjal, itu tidak pernah berlaku. Saya tidak fikir agama boleh dipermainkan seperti ini,” katanya ketika menjawab soalan pemberita selepas menghadiri Majlis Anugerah Tangan Emas Perdana Menteri di Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM), di sini, hari ini.
Anwar turut mempersoalkan kenyataan Abdul Hadi itu memandangkan cadangan awal berhubung memorandum persefahaman berkenaan turut dikemukakan oleh Perikatan Nasional (PN), yang ketika itu dianggotai Pas dan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU).
“Cadangan berkenaan turut melibatkan beberapa pemimpin ketika pentadbiran terdahulu, termasuk Datuk Seri Hamzah Zainudin, sebelum dimeterai bersama UMNO dan Pakatan Harapan (PH).
“Yang kemukakan dulu itu parti dia. Yang cadangkan itu, dia bersama Hamzah dan beberapa orang lain daripada kerajaan pada ketika itu.
“Kita gunakan draf yang sama untuk dikemukakan. Jadi aneh apabila perkara yang sama dahulu diterima, tetapi sekarang apabila orang lain melaksanakannya, ia pula dianggap Dajjal,” katanya.
Mengulas permintaan Setiausaha Agung PN, Datuk Seri Takiyuddin Hassan supaya kandungan perjanjian CSA didedahkan kepada umum, Anwar berkata, beliau tiada halangan berbuat demikian.
Menurutnya, prinsip perjanjian itu adalah sama seperti yang dimeterai sebelum ini dan tidak mengandungi perkara yang perlu dirahsiakan.
“Dia tidak rahsia. Prinsipnya sama seperti yang dulu, saya tidak ada masalah.
“Saya akan sampaikan kepada Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof yang bertanggungjawab. Saya tidak ada keberatan untuk mendedahkannya,” katanya.
Beliau berkata, perkara itu akan disampaikan kepada Fadillah esok sebelum tindakan lanjut dibuat berhubung pendedahan kandungan perjanjian berkenaan.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |














