BISNES & EKONOMI

BNM kekalkan OPR 2.75 peratus buat kali kesembilan berturut-turut

KUALA LUMPUR – Bank Negara Malaysia (BNM) mengekalkan Kadar Dasar Semalaman (OPR) pada 2.75 peratus dalam mesyuarat Jawatankuasa Dasar Monetari (MPC) hari ini, sekali gus meneruskan keputusan sama buat kali kesembilan berturut-turut sejak Julai 2025.

Keputusan itu selaras dengan pendirian dasar monetari semasa yang dilihat masih sesuai untuk menyokong pertumbuhan ekonomi mampan serta memastikan kestabilan harga.

BNM dalam kenyataan Dasar Monetari, hari ini berkata, petunjuk ekonomi terkini menunjukkan momentum pertumbuhan negara kekal kukuh pada suku ketiga 2026, disokong prestasi eksport yang memberangsangkan dan permintaan domestik yang mampan.

Prestasi itu dijangka membolehkan ekonomi Malaysia berkembang melebihi lima peratus tahun ini, manakala asas ekonomi yang teguh dijangka terus menyokong daya tahan pertumbuhan pada 2027.

Menurut bank pusat itu, sektor luaran dijangka menjadi pemacu utama pertumbuhan tahun depan, didorong kitaran peningkatan teknologi global dan perbelanjaan pelancong yang kukuh.

Related Articles

“MPC akan terus berwaspada terhadap perkembangan keadaan ekonomi dan menilai implikasinya terhadap keseimbangan risiko yang mempengaruhi prospek inflasi serta pertumbuhan domestik,” katanya.

Keadaan pasaran buruh yang stabil serta aktiviti pelaburan berterusan turut dijangka menyokong permintaan domestik, selain langkah di bawah Belanjawan 2027 yang akan memberi rangsangan tambahan kepada penggunaan swasta.

Bagaimanapun, prospek pertumbuhan masih berdepan risiko penurunan, khususnya sekiranya konflik di Asia Barat berlarutan dan pengeluaran komoditi merosot.

Sebaliknya, pertumbuhan ekonomi global yang lebih baik daripada jangkaan, peningkatan permintaan eksport berkaitan teknologi serta aktiviti pelancongan yang lebih rancak berpotensi merangsang pertumbuhan lebih tinggi.

Mengenai inflasi, BNM memaklumkan kadar inflasi keseluruhan dan teras masing-masing mencatat purata 1.8 peratus dan 1.9 peratus bagi tempoh tahun ini setakat ini.

Bagaimanapun, tekanan harga dijangka meningkat secara sederhana pada 2027 susulan perkembangan geopolitik, kenaikan harga komoditi global dan keadaan cuaca buruk.

Kedua-dua kadar inflasi itu bagaimanapun dijangka kekal terkawal, disokong langkah dasar domestik berterusan serta keadaan permintaan yang stabil.

“MPC akan terus berwaspada terhadap perkembangan keadaan ekonomi dan menilai implikasinya terhadap keseimbangan risiko yang mempengaruhi prospek inflasi serta pertumbuhan domestik,” menurut BNM.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button