Bekas ketua polis Indonesia berdepan dakwaan pengkhianatan, intip telefon Prabowo
JAKARTA – Bekas Ketua Polis Indonesia, Listyo Sigit Prabowo berdepan kemungkinan dakwaan pengkhianatan susulan tuduhan terbabit dalam skandal pengintipan telefon Presiden Prabowo Subianto dan beberapa individu berprofil tinggi.
Menteri Sekretariat Negara, Prasetyo Hadi berkata, perbuatan itu berpotensi dianggap sebagai pengkhianatan kerana boleh mengancam keselamatan pemimpin negara serta kepentingan nasional.
“Apa yang dilakukan mungkin termasuk dalam kategori yang boleh dianggap membawa kepada pengkhianatan.
“Ini juga merupakan tindakan yang membahayakan keselamatan dan kepentingan negara, termasuk menjejaskan keselamatan pemimpin negara,” katanya kepada pemberita di Jakarta semalam, memetik laporan saluran berita CNA.
Listyo dilaporkan dipecat daripada jawatan terbaharunya sebagai Ketua Staf Presiden dan ditahan kelmarin bersama dua lagi pegawai kanan polis berhubung dakwaan pengintipan berkenaan.
Ketua Detektif Polis Nasional, Asep Safrudin berkata, operasi pengintipan itu didakwa dilakukan tanpa asas undang-undang atau proses penyiasatan yang sah.
Skandal berkenaan turut didakwa membabitkan pemantauan telefon pegawai kerajaan, ahli politik, wartawan, wakil pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan ahli perniagaan.
Prasetyo berkata, motif di sebalik kegiatan pengintipan itu masih belum diketahui setakat ini.
“Apabila kita bercakap mengenai ketua negara, terdapat banyak maklumat di situ yang secara semula jadinya amat sensitif dan boleh membahayakan kepentingan dan kekuatan bangsa serta negara,” katanya.
Beliau turut memaklumkan bahawa Prabowo menyuarakan kebimbangan mendalam berhubung skandal berkenaan.
Di bawah Kanun Keseksaan Indonesia, pengkhianatan terhadap presiden boleh membawa hukuman berat, termasuk hukuman mati oleh skuad penembak.
Bagaimanapun, Listyo setakat ini belum mengeluarkan sebarang kenyataan terbuka berhubung dakwaan terhadapnya.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |














