Malaysia sasar jadi Negara AI menjelang 2030, perkukuh kerjasama strategik dengan Google – Gobind
KUALA LUMPUR – Malaysia berhasrat muncul sebagai Negara Kecerdasan Buatan (AI) menjelang 2030 dengan memberi tumpuan kepada pembangunan teknologi tempatan, pengukuhan bakat serta penghasilan produk dan perkhidmatan berasaskan AI yang mampu bersaing di peringkat antarabangsa.
Menteri Digital, Gobind Singh Deo berkata, pelaburan besar dalam infrastruktur pusat data dan pengkomputeran AI perlu diterjemahkan kepada nilai ekonomi jangka panjang yang dapat dimanfaatkan oleh rakyat serta industri tempatan.
“Keutamaan kita jelas. Kita mesti menterjemahkan pelaburan ini kepada nilai ekonomi yang berkekalan untuk Malaysia dan rakyat Malaysia,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucapan pada program Mantap Malaysia Bersama AI di Universiti Malaya, di sini, hari ini.
Menurut Gobind, aspirasi menjadikan Malaysia sebagai Negara AI menjelang 2030 berteraskan tiga matlamat utama iaitu membangunkan ekosistem AI yang inklusif dan mampan, meletakkan negara sebagai hab pengeluaran teknologi serantau serta menghasilkan produk dan perkhidmatan buatan Malaysia yang mampu menembusi pasaran global.
Katanya, pembangunan ekosistem berkenaan perlu memberi tumpuan kepada dua aspek utama, iaitu memperkukuh industri sokongan di sekitar pusat pengkomputeran AI serta memanfaatkan keupayaan infrastruktur itu untuk menghasilkan teknologi dan aplikasi baharu.
“Ini termasuk kejuruteraan termaju, sistem elektrik, teknologi penyejukan, tenaga boleh baharu, keselamatan siber dan tenaga kerja berkemahiran khusus.
“Peluang ini dapat memperkukuh perniagaan tempatan, membangunkan kepakaran dalam negara serta mewujudkan pekerjaan bernilai tinggi,” katanya.
Beliau berkata, kerajaan turut mahu menarik lebih ramai penyelidik, pembangun teknologi, syarikat pemula dan syarikat teknologi global untuk menjalankan inovasi di Malaysia, selain membantu syarikat tempatan menghasilkan penyelesaian yang mampu bersaing di pasaran serantau dan antarabangsa.
Dalam pada itu, Gobind berkata, Google merupakan rakan strategik penting negara dalam memperluas penggunaan teknologi AI, termasuk menerusi program AI@Work yang menyediakan akses kepada peralatan AI Google kepada 445,000 penjawat awam bagi meningkatkan produktiviti dan mutu perkhidmatan kerajaan.
Selain itu, menerusi inisiatif AI Untuk Rakyat, Google turut menyokong usaha kerajaan menyediakan akses percuma kepada peralatan AI selama tiga bulan kepada golongan belia di negara ini.
“Namun, saya percaya terdapat peluang untuk kita memperluaskan lagi kerjasama ini.
“Hari ini, saya ingin mengajak Google untuk bekerjasama dengan Malaysia sebagai rakan strategik dalam membangunkan ekonomi AI negara, melangkaui pelaburan infrastruktur kepada pembangunan industri, bakat, keupayaan penyelidikan dan inovasi yang mampu menjana nilai ekonomi jangka panjang,” katanya.
Mengulas lanjut, beliau berkata, inisiatif AI Cities yang menjadi antara program utama di bawah Pelan Tindakan AI Kebangsaan 2026–2030 merupakan salah satu bidang yang boleh diteroka bersama Google.
Menurutnya, AI Cities akan dibangunkan sebagai makmal inovasi yang menghimpunkan agensi kerajaan, universiti, penyelidik, syarikat teknologi tempatan serta rakan antarabangsa bagi membangunkan dan menguji penyelesaian berasaskan AI terhadap pelbagai cabaran sebenar.
“Ini termasuk isu kesesakan trafik, pengurusan banjir, kecekapan tenaga dan penyampaian perkhidmatan awam yang lebih responsif.
“Kita mahu inovasi ini memberi manfaat kepada komuniti di seluruh Malaysia, selain membuka peluang kepada syarikat tempatan untuk membangunkan produk dan perkhidmatan yang boleh menembusi pasaran luar negara,” katanya.
Gobind berkata, Malaysia sudah mempunyai asas penting untuk membangunkan masa depan AI menerusi infrastruktur, keupayaan industri dan kumpulan bakat yang semakin berkembang.
Justeru, katanya, tumpuan kini perlu diberikan kepada usaha membangunkan keupayaan AI bertaraf dunia di dalam negara, bukan sekadar menjadi lokasi kepada infrastruktur teknologi global.
Beliau turut menyatakan keyakinan bahawa kerjasama lebih erat dengan Google mampu memperkukuh kedudukan Malaysia sebagai hab AI serantau, selain mewujudkan peluang baharu kepada perniagaan, inovator dan rakyat.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |














