BERITA SEMASA

Ibu remaja lari asrama tak tahan dibuli akan buat laporan polis

KUALA LUMPUR – Satu laporan polis akan dibuat oleh ibu kepada Muhammad Daniel Akmal Zulkhairi, 14, yang melarikan diri dari asrama sebuah sekolah menengah di sini kerana mendakwa tidak tahan dibuli.

Shuhada Jamaludin, 38, berkata pihaknya akan berbuat demikian selepas keadaan anaknya yang kini sedang menerima rawatan di Hospital Canselor Tuanku Muhriz (HCTM) Cheras, berada dalam keadaan stabil.

“Doktor berkata buat masa ini keadaan anak saya masih belum stabil dan perlukan rehat… selepas dia benar-benar sihat baru saya akan buat laporan polis tentang kejadian buli yang dialami anak saya. Saya mahukan keadilan untuk anak saya.

“Buat masa ini saya tidak mahu desak dia untuk bercerita, saya tunggu emosi dan keadaan dia stabil dahulu,” katanya memetik laporan Bernama.

Menurut Shuhada anak sulungnya daripada tiga beradik itu sebelum ini itu pernah mengadu dibuli, namun menganggapnya tidak serius dan memintanya menyelesaikan masalah dialami dengan dengan individu berkenaan secara baik.

Bagaimanapun katanya, dia tidak menyangka anaknya tertekan dengan perkara itu sehingga nekad melarikan diri dari asrama sekolah pada jam 3 pagi dalam keadaan sehelai sepinggang, sebelum dijumpai dalam keadaan tidak bermaya di pondok menunggu bas di hadapan Masjid Saidina Othman, Bandar Tun Razak malam kelmarin.

Ditanya sama ada Kementerian Pelajaran (KPM) ada menghubunginya mengenai kejadian itu, Shuhada berkata setakat ini tiada mana-mana individu daripada kementerian berkenaan menghubunginya.

KPM dalam kenyataannya malam tadi memaklumkan sedang menjalankan siasatan terhadap dakwaan kejadian buli berkenaan membabitkan pelajar itu dan akan memastikan ia diselesaikan segera.

Terdahulu, Ketua Polis Daerah Cheras, Asisten Komisioner Zam Halim Jamaluddin, berkata Muhammad Daniel dilaporkan hilang dari kawasan sebuah sekolah di Cheras di sini Khamis lalu, ditemukan dalam keadaan lemah di hadapan Masjid Saidina Othman, Bandar Tun Razak malam kelmarin.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button