BERITA SEMASA

Isu pinjam wang punca lelaki patah kaki dirempuh kereta

KUALA LUMPUR – Perselisihan faham berpunca daripada isu pinjaman wang dipercayai menjadi pencetus  pergaduhan sehingga seorang lelaki patah kaki selepas dilanggar sebuah kereta dalam kejadian di hadapan sebuah pasar raya di Taman Pulai Utama, Skudai, Johor.

Insiden yang tular di media sosial itu kini disiasat sebagai cubaan membunuh mengikut Seksyen 307 Kanun Keseksaan.

Ketua Polis Iskandar Puteri, Ramlan Radin Taha berkata, tiga individu terdiri daripada seorang lelaki dan dua wanita berusia antara 34 hingga 53 tahun ditahan selepas polis menerima laporan berhubung kejadian itu semalam.

Menurutnya, perselisihan faham antara pihak yang saling mengenali itu dipercayai membawa kepada pergaduhan fizikal sebelum sebuah kereta dipandu salah seorang individu terlibat melanggar mangsa.

“Seorang lelaki berusia 35 tahun mengalami patah kaki kanan susulan insiden berkenaan.

“Mangsa telah menerima rawatan di Hospital Sultanah Aminah, Johor Bahru dan dilaporkan dalam keadaan stabil,” katanya dalam kenyataan.

Ramlan berkata, polis turut mengesan beberapa individu lain yang dipercayai terbabit dalam kejadian itu.

Saringan air kencing terhadap ketiga-tiga suspek mendapati mereka negatif dadah dan tidak mempunyai rekod jenayah lampau.

Kes turut disiasat mengikut Seksyen 147 Kanun Keseksaan kerana merusuh.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button