BERITA SEMASA

PRN Melaka: Projek30% sambut baik komitmen PKR letak 30 peratus calon wanita

KUALA LUMPUR – Kempen Projek30% menyambut baik komitmen PKR untuk meletakkan sekurang-kurangnya 30 peratus calon wanita pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka akan datang.

Dalam kenyataan, Projek30% berkata, pengumuman PKR itu sebagai langkah positif bagi membuka lebih banyak peluang kepada wanita untuk mewakili rakyat Melaka serta terlibat dalam proses membuat keputusan yang memberi kesan kepada kehidupan, keluarga dan komuniti.

Menurutnya, komitmen itu turut membawa kepentingan tersendiri memandangkan Perdana Menteri merupakan pemimpin PKR dalam kerajaan gabungan.

“Bagaimanapun, komitmen mencapai sasaran 30 peratus calon wanita masih tidak sekata antara negeri dan parti politik.

“Malah, perwakilan wanita dalam tiga pilihan raya negeri sebelum ini, iaitu Sabah, Johor dan Negeri Sembilan, menunjukkan kemerosotan,” katanya hari ini.

Sehubungan itu, Projek30% mengulangi gesaan supaya kerajaan menggubal Akta Projek30% bagi mewujudkan kerangka perundangan yang jelas dan berkekalan dalam meningkatkan perwakilan wanita dalam politik.

Katanya, undang-undang berkenaan juga penting bagi menangani halangan struktur dan sosio budaya yang terus mengehadkan peluang wanita untuk menyertai kepimpinan politik serta proses membuat keputusan.

Projek30% turut menyatakan perkembangan positif apabila beberapa parti politik mula menunjukkan sokongan terhadap peningkatan penglibatan wanita dalam kepimpinan.

Antaranya katanya, DAP meletakkan lapan calon wanita pada PRN Johor, mewakili 47 peratus daripada keseluruhan calon parti itu, manakala AMANAH menyokong cadangan undang-undang yang mewajibkan sekurang-kurangnya 30 peratus calon wanita bagi pilihan raya Parlimen dan Dewan Undangan Negeri (DUN).

Selain itu katanya, gesaan supaya kuota 30 peratus wanita dalam senarai calon pilihan raya turut disuarakan pemimpin UMNO, manakala kepimpinan wanita Gabungan Rakyat Sabah (GRS) sebelum ini mengemukakan cadangan senarai 10 calon wanita menjelang PRN Sabah 2025.

“Isu perwakilan wanita turut mendapat perhatian di Parlimen apabila Ahli Parlimen Sri Aman, Datuk Seri Doris Brodi, membangkitkan keperluan mewujudkan undang-undang berkaitan kuota 30 peratus wanita serta menggesa supaya ia dibentangkan segera.

“Sementara itu, Ahli Parlimen Sekijang, Dr Zaliha Mustafa, turut meminta penjelasan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Nancy Shukri, mengenai kemungkinan menghidupkan semula Rang Undang-Undang Kesaksamaan Gender dalam Perwakilan Politik,” katanya.

Projek30% berkata, Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen pada 22 Jun lalu turut mencadangkan supaya rang undang-undang berkenaan diperkenalkan, selain menggesa Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Bahagian Hal Ehwal Undang-Undang, Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) serta Jabatan Peguam Negara mengadakan rundingan bersama pihak berkepentingan.

Menurut kempen itu, parti politik di Malaysia mempunyai sayap wanita yang besar dengan ramai pemimpin berpengalaman dan berkemampuan, namun mereka masih berdepan halangan untuk mendapat peluang bertanding serta menduduki posisi kepimpinan.

Justeru, kerajaan perlu bertanggungjawab menangani ketidakadilan sistemik yang terus menyekat penyertaan wanita dalam politik.

Projek30% memaklumkan pihaknya telah menyediakan cadangan Akta Projek30% berasaskan penyelidikan dan bukti, termasuk mekanisme pelaporan, pemantauan serta insentif kewangan bagi menangani kekurangan perwakilan wanita dalam politik negara.

Kempen itu menggesa kerajaan menggubal undang-undang berkenaan dengan segera supaya menjelang Pilihan Raya Umum akan datang, sasaran minimum 30 peratus perwakilan wanita bukan lagi sekadar janji politik, sebaliknya disokong kerangka perundangan yang konkrit.

Projek30% turut menyatakan kesediaan untuk bekerjasama dengan kerajaan bagi merealisasikan pelaksanaan akta berkenaan.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button