Lelaki 50 tahun ditahan kes hantaran karikatur hina polis
ALOR SETAR – Polis Kedah menahan seorang lelaki tempatan berusia 50 tahun bagi membantu siasatan berhubung hantaran karikatur yang didakwa menghina polis di media sosial.
Ketua Polis Kedah, Datuk Adzli Abu Shah berkata, suspek ditahan pada 27 Oktober lalu di hadapan Menara Seri Wilayah P2a, Presint 2, Putrajaya.
Menurutnya, semakan mendapati suspek bekerja sendiri, telah berkahwin dan tidak mempunyai rekod lampau.
“Dalam tangkapan tersebut, polis turut merampas sebuah telefon bimbit yang dipercayai digunakan untuk membuat hantaran berkenaan ke dalam media sosial,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata, polis Kedah menerima satu laporan pada 25 Oktober lalu berhubung hantaran yang tular di Facebook menerusi akaun ‘Joy Reyzal II’.
“Hantaran itu memaparkan karikatur seorang lelaki berpakaian seragam polis, mengenakan solekan serta membawa beg tangan wanita di hadapan sebuah lapangan terbang, berserta ayat ‘Tak tau nak nangis ker or nak gelak’.
“Hasil semakan mendapati sebanyak 38 laporan polis turut diterima dari negeri-negeri lain berhubung insiden sama,” katanya.
Adzli berkata, siasatan dibuka mengikut Seksyen 505(b) Kanun Keseksaan, Seksyen 14 Akta Kesalahan Kecil 1955 dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.
Katanya, jika disabitkan kesalahan, individu terbabit boleh dikenakan hukuman penjara sehingga dua tahun, denda atau kedua-duanya sekali.
“Permohonan reman terhadap suspek telah dijalankan di Mahkamah Majistret Langkawi pada 28 Oktober dan mahkamah membenarkan reman selama dua hari bagi membantu siasatan lanjut.
“Sehubungan itu, beliau menasihatkan orang ramai supaya tidak membuat sebarang komen, spekulasi atau menyebarkan maklumat tidak sahih yang boleh mengganggu ketenteraman awam,” katanya.
Sementara itu katanya, polis turut memberi amaran bahawa tindakan tegas akan diambil terhadap mana-mana pihak yang melanggar undang-undang atau cuba mencetuskan provokasi sehingga menggugat keselamatan negara.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |







