Kepintaran AI tiada makna tanpa nilai kemanusiaan – Anwar
KUALA LUMPUR – Kemajuan teknologi kecerdasan buatan (AI) dalam pendidikan tidak seharusnya menyebabkan aspek pembentukan akhlak dan nilai kemanusiaan dipinggirkan, sebaliknya kedua-duanya perlu bergerak seiring dalam melahirkan generasi berilmu dan berbudi pekerti.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, AI mempunyai keupayaan dari segi pengetahuan dan kepintaran, namun tidak memiliki nilai, akhlak serta kemanusiaan yang perlu dipupuk dalam diri setiap individu.
Beliau berkata, penggunaan teknologi dalam pendidikan penting bagi menghadapi masa depan, tetapi masyarakat perlu sentiasa mengingati batasan teknologi berkenaan.
“Kita ke arah penggunaan teknologi itu namun ada juga peringatan sebab itu kita menggapai di langit, mengakar di bumi. Kenapa? Sebab sementara AI itu penting, tetapi ada juga masalah.
“(AI) ada pengetahuan tetapi hilang kemanusiaan dan rendah akal budi. AI tidak ada nilai, tiada akhlak, tidak ada kemanusiaan. Hanya kepintaran,” kata beliau menerusi perkongsian video di Facebook.
Anwar berkata demikian ketika menjawab pertanyaan seorang pelajar mengenai kemungkinan semua sekolah di negara ini menggunakan teknologi seperti tablet, komputer riba dan AI pada masa hadapan.
Terdahulu, beliau beramah mesra dengan pelajar dari sekolah sekitar Pasir Gudang dan Pontian, Johor, di bangunan Parlimen hari ini.
Menurut Perdana Menteri, negara sememangnya menuju ke arah penggunaan teknologi dalam pendidikan, namun kemajuan itu perlu disertai kesedaran mengenai kepentingan mengekalkan nilai kemanusiaan.
Beliau berkata, kepintaran sahaja tidak mencukupi sekiranya tidak disertai akhlak dan nilai yang baik, justeru pendidikan perlu terus memberi perhatian kepada pembentukan insan yang seimbang.
Anwar turut mengingatkan kepentingan konsep akal budi dalam budaya Melayu yang menghubungkan keupayaan berfikir dengan akhlak, sekali gus menegaskan kecerdasan seseorang tidak seharusnya diukur berdasarkan pengetahuan semata-mata.
Juteru itu, beliau mengajak pelajar membudayakan amalan menghargai ibu bapa dan menzahirkan kasih sayang dalam kehidupan seharian.
Katanya, amalan seperti memeluk dan mencium ibu bapa serta menunjukkan penghargaan kepada mereka mampu memupuk nilai kasih sayang dan kemanusiaan yang perlu dipelihara meskipun masyarakat semakin maju dengan teknologi.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








