JENAYAH & MAHKAMAH

Pemandu Malaysia dicekup di Singapura, sorok rokok seludup dalam lori sayur

KUALA LUMPUR – Pihak Berkuasa Imigresen dan Pusat Pemeriksaan Singapura (ICA) menahan seorang pemandu lori warga Malaysia selepas menemui lebih 800 karton rokok belum dibayar duti yang disembunyikan di bawah bakul sayur-sayuran dibawanya di Pusat Pemeriksaan Woodlands.

Menurut ICA Singapura, cubaan penyeludupan itu dipatahkan pada 8 Oktober lalu selepas pegawainya mengesan ketidakaturan pada imej imbasan lori berdaftar di Malaysia itu.

“Lori berkenaan yang membawa muatan diisytiharkan sebagai pelbagai jenis sayur-sayuran, diarahkan menjalani pemeriksaan lebih teliti selepas penganalisis imej ICA mengesan kejanggalan pada imej imbasan,” menurut ICA Singapura dalam kenyataan di Facebook.

ICA berkata, pemeriksaan lanjut menemukan lebih 800 karton rokok yang belum dibayar duti, disembunyikan di bawah bakul sayur-sayuran dan dimasukkan ke dalam beg sampah warna putih.

Foto yang dikongsikan ICA menunjukkan sebuah lori kotak jenama Isuzu serta beberapa bakul plastik yang disusun di dalam ruang kargo kenderaan itu.

Selain itu, foto lain turut memaparkan karton rokok yang dibungkus dalam beg plastik putih, selain sejumlah besar karton rokok yang disusun selepas rampasan dilakukan.

Pemandu warga Malaysia berusia 33 tahun itu ditahan berhubung cubaan penyeludupan berkenaan.

ICA Singapura berkata, suspek bersama barangan yang dirampas diserahkan kepada Kastam Singapura untuk siasatan lanjut.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button