Pegawai kargo hidu bau mencurigakan, bantu rampasan tanduk badak terbesar di Singapura
SINGAPURA – Tindakan pantas seorang kakitangan pemeriksaan kargo di Lapangan Terbang Changi membawa kepada rampasan tanduk badak sumbu putih terbesar dalam sejarah Singapura, melibatkan 35.7 kilogram spesimen bernilai sekitar SGD$1.13 juta (RM3.6 juta).
Rampasan pada 8 November itu disahkan Lembaga Taman Negara (NParks) sebagai penghantaran seludup dari Afrika Selatan yang dipercayai dalam perjalanan ke Laos, lapor agensi berita Xinhua.
Selain 20 tanduk badak sumbu putih, pihak berkuasa turut menemui 150 kilogram bahagian haiwan lain seperti tulang, gigi dan kuku yang kini sedang dianalisis bagi mengenal pasti spesies serta asal usulnya.

Menurut NParks, siasatan masih dijalankan dan setakat ini suspek belum dikenal pasti.
Insiden terbabit terbongkar selepas kakitangan Penerimaan Kargo Sats, Vengadeswaran Letchumanan mengesan bau busuk mencurigakan daripada empat unit kargo yang diisytiharkan sebagai ‘kelengkapan perabot’.
“Apabila kami membuka kargo itu, saya terkejut dengan bau busuk seperti sesuatu yang sedang reput. Sepanjang tiga tahun bekerja di sini, saya tidak pernah melihat kejadian sebegini,” katanya.
Beliau segera memaklumkan pengurus bertugas sebelum Perkhidmatan Keselamatan Sats menjalankan pemeriksaan terperinci.
Hasil semakan mengesahkan kandungan tersebut adalah bahan seludup, lalu Bahagian Polis Lapangan Terbang dan NParks dimaklumkan.
Pemeriksaan lanjut menemui 20 tanduk badak sumbu seberat 35.7kg serta 150kg bahagian haiwan lain sekali gus memecahkan rekod rampasan tanduk badak sumbu 34.7kg pada Oktober 2022.
Dalam taklimat media semalam, NParks menegaskan perdagangan hidupan liar haram bukan sahaja mengancam spesies terancam malah membawa risiko kesihatan awam termasuk penularan patogen berbahaya.
Di bawah Akta Spesies Terancam (Import dan Eksport), perdagangan spesies dilindungi tanpa permit CITES ketika transit melalui Singapura adalah satu kesalahan.
Pesalah boleh dihukum denda sehingga SGD$200,000 (RM637,000) bagi setiap spesimen atau penjara sehingga lapan tahun.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








