KESUMA sumbang barangan keperluan kepada 22,000 keluarga komuniti India sempena Deepavali – Ramanan
KUALA LUMPUR – Kementerian Sumber Manusia (KESUMA) menyalurkan sumbangan barangan keperluan harian kepada 22,000 keluarga masyarakat India yang memerlukan di seluruh negara bersempena dengan sambutan Deepavali pada 8 Nov ini.
Inisiatif menerusi Program Sumbangan Barangan Keperluan Harian MADANI itu digerakkan Kementerian Sumber Manusia (KESUMA) sebagai usaha memastikan keluarga kurang berkemampuan turut dapat membuat persiapan menyambut perayaan berkenaan dengan lebih selesa.
Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri Ramanan Ramakrishnan berkata, Deepavali yang membawa simbolik kemenangan cahaya mengatasi kegelapan turut mengingatkan masyarakat tentang pentingnya harapan, kasih sayang dan keprihatinan terhadap golongan yang memerlukan.
“Dalam kita membuat persiapan menyambut Deepavali, ada keluarga yang mungkin sedang memikirkan bagaimana hendak menyediakan keperluan asas untuk anak-anak dan orang tersayang.
“Melalui sumbangan ini, kita mahu meringankan sedikit beban mereka supaya ibu bapa dapat membuat persiapan dengan lebih tenang dan anak-anak turut merasai kegembiraan perayaan. Inilah semangat Ihsan MADANI yang kita mahu terjemahkan melalui tindakan,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas menyempurnakan pelepasan Konvoi Program Sumbangan Bakul Makanan MADANI sempena Deepavali, semalam.
Program berkenaan dilaksanakan dengan kerjasama lima agensi di bawah KESUMA, iaitu Talent Corporation Malaysia Berhad (TalentCorp), Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO), Perbadanan Pembangunan Sumber Manusia (HRD Corp), Perbadanan Tabung Pembangunan Kemahiran (PTPK) dan Institut Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan Negara (NIOSH).
Menurut Ramanan, kerjasama antara agensi itu membolehkan sumber dan tenaga digembleng bagi memastikan bantuan dapat disampaikan kepada keluarga yang memerlukan, selain memperkukuh usaha kementerian mendekati masyarakat.
“Bantuan secara langsung perlu dilengkapi usaha jangka panjang, khususnya dalam menyediakan peluang pekerjaan dan meningkatkan kemahiran bagi membantu rakyat menambah pendapatan serta memperbaiki taraf hidup.
“KESUMA akan terus memainkan peranan dalam membuka peluang pekerjaan, meningkatkan kemahiran dan membantu rakyat memperbaiki taraf kehidupan. Pada masa yang sama, kita mahu menjadi kementerian yang dekat dengan rakyat, memahami keperluan mereka dan hadir apabila mereka memerlukan sokongan.
“Kita mahu setiap usaha yang dilaksanakan membawa manfaat yang dapat dirasai oleh masyarakat. Sempena Deepavali ini, semoga sumbangan yang diberikan dapat membawa sedikit kelegaan, kegembiraan dan harapan kepada keluarga yang menerimanya,” tambahnya.
Program itu turut mencerminkan komitmen berterusan KESUMA bersama agensi di bawahnya dalam melaksanakan inisiatif yang memberi manfaat secara langsung kepada rakyat, selain menyemarakkan semangat perpaduan, keprihatinan dan kebersamaan dalam masyarakat berbilang kaum di negara ini.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |







