BERITA SEMASA

Murid 11 tahun parah dirempuh kereta

KOTA KINABALU – Seorang murid lelaki berusia 11 tahun cedera parah selepas dirempuh sebuah kereta ketika melintas jalan di hadapan sebuah sekolah rendah di Jalan Tuaran Lama, Manggatal, di sini, pagi Isnin.

Dalam kejadian kira-kira 8 pagi itu, mangsa mengalami kecederaan serius di kepala dan kini dirawat di zon merah Jabatan Kecemasan Hospital Likas.

Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu, ACP Shahrudin Mat Husain berkata, pihaknya menerima laporan berhubung kejadian itu pada 8.03 pagi.

Menurutnya, siasatan awal mendapati kereta dipandu lelaki berusia 69 tahun itu dalam perjalanan dari Pekan Manggatal menuju ke sebuah pasar raya di kawasan berkenaan sebelum mangsa dipercayai melintas secara tiba-tiba dari kanan ke kiri jalan.

“Akibat kejadian itu, mangsa mengalami kecederaan serius di bahagian kepala dan kini dirawat di wad kecemasan Zon Merah Hospital Likas,” katanya dalam kenyataan, Isnin.

Beliau berkata, kereta terbabit ditahan untuk pemeriksaan teknikal oleh Pusat Pemeriksaan Kenderaan Berkomputer (PUSPAKOM), manakala siasatan lanjut dijalankan mengikut Seksyen 43(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Katanya, polis turut mengambil keterangan pihak terbabit, termasuk pemandu kereta, selain mengesan rakaman kamera litar tertutup (CCTV) di sekitar lokasi kejadian bagi membantu siasatan.

“Orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung kejadian diminta menghubungi Pegawai Penyiasat, Sarjan Mazlan Mursalam menerusi talian 012-3036605 atau tampil di balai polis berhampiran,” katanya.

Shahrudin turut menasihatkan pengguna jalan raya supaya sentiasa berhati-hati, memandu secara berhemah dan mematuhi peraturan lalu lintas bagi mengelakkan kejadian tidak diingini.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button