PKR ketengahkan lebih ramai muka baharu, calon muda pada PRN Melaka – Fuziah
KUALA LUMPUR – Parti Keadilan Rakyat (PKR) mengetengahkan lebih ramai muka baharu dan calon muda pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka sebagai usaha membuka ruang kepada generasi pelapis dalam kepemimpinan politik.
Setiausaha Agungnya, Datuk Dr Fuziah Salleh berkata, pendekatan itu turut memberi peluang lebih besar kepada golongan wanita untuk memainkan peranan dalam kepemimpinan serta membawa aspirasi rakyat.
“Tujuh atau 77.8 peratus daripada sembilan calon PKR adalah muka baharu, manakala empat atau 44.4 peratus pula terdiri daripada golongan muda.
“Pada masa sama, tiga calon wanita turut diketengahkan, bersamaan 33.3 peratus daripada keseluruhan calon,” katanya menerusi kenyataan di Facebook hari ini.
Kelmarin, Perdana Menteri yang juga Pengerusi Pakatan Harapan (PH), Datuk Seri Anwar Ibrahim mengumumkan gabungan itu akan bertanding di 21 kerusi pada PRN Melaka, dengan PKR meletakkan calon di sembilan kawasan.
Calon yang diketengahkan ialah Mohd Yunazri Mustamiri di Tanjung Bidara; Mohd Khuzairie Mohd Kamal Kannan (Rembia); P. Denesh (Asahan); Datuk Azman Abidin (Paya Rumput); Muhammad Hakimin Mokhtar (Ayer Molek); Esma Eazreen Husin (Rim); Muhammad Faiq Azman (Serkam); Farzana Hayani Mohd Nasir (Kelebang) dan Datuk Ginie Lim Siew Lin (Machap Jaya).
Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan 14 November sebagai hari pengundian PRN Melaka, manakala penamaan calon berlangsung pada 31 Oktober dan pengundian awal pada 10 November.
Mengulas persiapan menghadapi pilihan raya itu, Fuziah yang juga Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup berkata, beliau sudah mengunjungi lapan Bilik Gerakan Utama (BGU) Dewan Undangan Negeri (DUN) sejak pengumuman calon dibuat bagi meninjau persiapan, bertemu petugas serta membantu menyelaraskan gerak kerja jentera parti.
Beliau berkata, siri lawatan berkenaan akan diteruskan sehingga esok bagi memastikan persiapan di peringkat kawasan berjalan lancar.
“PKR akan bertanding di sembilan kerusi Dewan Undangan Negeri dalam PRN Melaka,” katanya.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








