Syed Saddiq raih pujian kerana pastikan tetamu selesa ketika Kenduri Rakyat
MUAR – Ketika sibuk meraikan hari bahagia bersama Bella Astillah, Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman tetap memastikan tetamu yang hadir ke majlis resepsi mereka tidak terpinggir, khususnya mereka yang menunggu dalam keadaan panas.
Keprihatinan itu mencuri perhatian apabila beliau meminta petugas memberi peluang kepada tetamu di ruang bawah dewan untuk berpindah ke bahagian atas yang masih mempunyai banyak tempat kosong.
Menerusi rakaman siaran langsung yang dikongsikan di media sosial, Syed Saddiq dilihat bertanyakan keadaan tetamu kepada petugas ketika berada di atas pelamin sebelum meminta mereka mengambil tindakan segera.
“Orang dah masuk ke dewan kat bawah? Kalau boleh tolong bagitahu sebab dewan atas pun banyak kosong.
“Tak adil orang boleh duduk sini, kat bawah berpanasan. Bagi mereka masuk,” katanya.
Dalam rakaman sama, beliau turut mengingatkan petugas supaya tidak terlalu menumpukan perhatian kepada kelancaran acara sehingga mengabaikan keselesaan tetamu yang hadir memeriahkan majlis berkenaan.
Tindakan spontan itu mengundang pujian pengguna media sosial yang menyifatkan Syed Saddiq masih peka terhadap keadaan sekeliling meskipun sedang meraikan hari bahagianya sendiri.
“Tengah sanding pun YB cakna dengan sekeliling. Kalau kita mungkin dah tak cakna sebab penat jadi pengantin. Hormat,” komen seorang pengguna media sosial.
Majlis resepsi berkonsepkan ‘Kenduri Rakyat’ itu dilaporkan menerima kehadiran lebih 10,000 tetamu, termasuk penduduk setempat serta pengunjung dari Singapura, Sabah, Sarawak, Terengganu dan Kelantan.
Untuk rekod, Syed Saddiq dan Bella sah bergelar suami isteri dengan sekali lafaz pada 10 Oktober lalu. Pasangan itu dinikahkan oleh Datuk Seri Zulkifli Mohamad Al-Bakri dengan mas kahwin sebanyak RM500.
Selepas mengadakan resepsi di Pusat Pameran dan Perdagangan Antarabangsa Malaysia (MITEC) serta Kenduri Rakyat di Muar, pasangan yang dikenali sebagai BASS itu dijadualkan mengadakan majlis seterusnya di Kota Kinabalu, Sabah pada 31 Oktober ini.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |







