BERITA SEMASA

UPTM iktiraf e-sukan sebagai sukan penting negara

CHERAS – Universiti Poly-Tech Malaysia (UPTM) mengiktiraf sukan elektronik (e-sukan) sebagai antara sukan penting dalam pembangunan sukan negara, sekali gus membuka ruang kepada pelajar mengembangkan bakat dalam bidang berkenaan.

vc uptm
Prof Dr Sharifah Syahirah Sy Sheikh

Naib Canselor UPTM, Prof Dr Sharifah Syahirah Sy Sheikh berkata, e-sukan bukan sekadar permainan video, sebaliknya mampu membentuk kemahiran berfikir secara kritis, strategi dan kerjasama berpasukan dalam kalangan pelajar.

Menurutnya, pengiktirafan itu juga selaras dengan usaha universiti melahirkan graduan seimbang yang bukan sahaja cemerlang dalam akademik, malah mempunyai kecergasan fizikal dan kekuatan spiritual.

“E-sukan memang kami iktiraf sebagai satu sukan yang penting dalam segmen sukan negara. Kita juga mahu mereka mengembangkan bakat masing-masing, khususnya dalam e-sukan,” katanya ketika sidang media selepas Majlis Penyampaian Hadiah E-Sukan Piala Pengerusi MARA di UPTM, di sini, hari ini.

Mengulas penganjuran kejohanan itu, beliau berkata, program berkenaan akan dijadikan acara tahunan berikutan kesesuaiannya dengan bidang kepakaran UPTM dalam teknologi maklumat dan multimedia.

“Pihak universiti turut merancang memperluas skala kejohanan itu pada tahun depan menerusi kerjasama dengan rakan strategik, selain menawarkan hadiah lebih lumayan kepada peserta,” katanya.

Menurutnya, program berkenaan sebelum ini dilaksanakan secara dalam talian dengan penyertaan kira-kira 400 pelajar sekolah menengah, khususnya dari Maktab Rendah Sains MARA (MRSM).

Daripada penyertaan 58 MRSM, sebanyak 11 MRSM berjaya mara ke peringkat akhir yang berlangsung di UPTM, membabitkan kira-kira 200 pelajar.

Sementara itu, wakil penganjur berkata, pemilihan permainan PlayerUnknown’s Battlegrounds (PUBG) dan Mobile Legends dalam kejohanan itu dibuat berdasarkan elemen pemikiran kritis dan kerjasama berpasukan yang diterapkan dalam permainan berkenaan.

“Kemahiran itu juga penting dalam persekitaran pembelajaran di universiti, khususnya ketika pelajar melaksanakan tugasan dan penilaian secara berkumpulan.

“Perkara ini bukan hanya mengenai bagaimana seseorang bermain permainan itu, tetapi bagaimana mereka berkomunikasi antara satu sama lain dan bekerjasama untuk mencapai matlamat bersama.

“Universiti perlu menyediakan platform kepada pelajar untuk mengetengahkan minat mereka, di samping membimbing mereka supaya mengekalkan keseimbangan dari segi minda, fizikal dan spiritual,” katanya lagi.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button