24 saksi dirakam bantu siasatan insiden di sekolah swasta Kuching
KUCHING – Polis telah merakam percakapan 24 individu bagi membantu siasatan insiden yang dilaporkan berlaku di sebuah sekolah swasta di Kuching, Sarawak.
Pemangku Pesuruhjaya Polis Sarawak, Datuk Saifullizan Ishak berkata, individu terbabit terdiri daripada pengadu, mangsa, pegawai perubatan, pegawai yang terlibat dalam tindakan tangkapan dan rampasan, ibu bapa individu yang disiasat, pemandu keluarga, pihak sekolah serta pelajar.
“Setakat 22 Oktober lalu, beberapa tindakan telah dilaksanakan bagi melengkapkan siasatan kes berkenaan.
“Suspek kini masih menerima rawatan di hospital dan pihak polis meneruskan tindakan siasatan dengan mengambil kira keadaan kesihatannya serta tertakluk kepada nasihat dan penilaian pihak pegawai perubatan, di samping memastikan segala prosedur undang-undang yang berkuat kuasa dipatuhi,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Menurutnya, siasatan dijalankan secara profesional, teliti dan menyeluruh dengan mengambil kira semua keterangan serta bukti berkaitan.
“Sebarang tindakan lanjut akan dilaksanakan berdasarkan fakta yang diperoleh dan peruntukan undang-undang berkuat kuasa,” katanya.
Dalam pada itu, Saifullizan berkata, polis memandang serius aspek sensitiviti semua pihak, khususnya kebajikan mangsa dan pelajar yang terlibat.
Sehubungan itu, orang ramai diminta menghormati privasi mereka serta tidak menyebarkan identiti, gambar atau maklumat peribadi yang boleh membawa kepada pengenalpastian mana-mana pihak, terutama individu bawah umur.
Beliau turut berkata, Polis Diraja Malaysia (PDRM) Kontinjen Sarawak komited memastikan siasatan dijalankan secara adil, objektif dan berlandaskan kedaulatan undang-undang.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








