Warga MCMC diingatkan jaga integriti, elak salah guna kuasa
CYBERJAYA – Warga Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) diingatkan supaya sentiasa memelihara integriti dan mengamalkan tadbir urus yang baik bagi memastikan keyakinan masyarakat terhadap institusi komunikasi negara terus terpelihara.
Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Datuk Seri Abd Halim Aman berkata, integriti bukan sekadar mematuhi peraturan atau memenuhi keperluan audit, sebaliknya perlu berasaskan nilai kejujuran dan amanah yang dipegang setiap individu.
“Penganjuran program pengukuhan integriti ini juga bukan sekadar acara tahunan, malah mencerminkan komitmen pengurusan tertinggi dan seluruh warga kerjanya dalam memperkukuh akauntabiliti organisasi.
“Integriti bukanlah sekadar mematuhi peraturan bertulis atau sekadar memenuhi keperluan audit semata-mata.
“Sebaliknya, ia bermula daripada nilai dan prinsip hakiki dipegang setiap individu, terutamanya apabila berhadapan situasi yang menguji kejujuran serta amanah,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Beliau berkata demikian ketika menyampaikan amanat pada Majlis Kemuncak Bulan Integriti dan Audit MCMC 2026 bertemakan Empowering Integrity, Strengthening Governance di Auditorium MCMC, di sini, hari ini.
Menurutnya, kuasa dan tanggungjawab yang diberikan kepada penjawat organisasi tidak seharusnya disalahgunakan, sebaliknya perlu dilaksanakan secara telus tanpa mengira pangkat atau kedudukan.
“Amanah wajib dipelihara tanpa mengira pangkat atau kedudukan manakala kuasa pula bukanlah satu keistimewaan.
“Setiap keputusan berhubung perlesenan, penguatkuasaan, perolehan, pengurusan sumber manusia dan hubungan industri mestilah dilaksanakan secara telus,” tambahnya.
Dalam pada itu, beliau menggesa warga MCMC supaya berani melaporkan sebarang salah guna kuasa atau arahan yang bertentangan dengan undang-undang melalui saluran rasmi yang disediakan.
“Berani kerana benar dan laporkan sebarang salah laku. Perkara yang salah jangan sesekali dilindungi,” ujarnya.
Sementara itu, Anggota Suruhanjaya merangkap Pengerusi Jawatankuasa Audit dan Risiko MCMC, Prof. Dr. Mohamad Salmi Mohd Sohod berkata, pihaknya komited membendung amalan rasuah serta memastikan sistem tadbir urus yang berakauntabiliti terus diperkukuh.
Beliau berkata, setiap dana yang diuruskan perlu memberikan manfaat kepada rakyat menerusi pengurusan yang telus dan teratur.
“MCMC sentiasa melaksanakan yang terbaik bagi memastikan setiap dana diurus akan dikembalikan manfaatnya kepada rakyat secara telus dan teratur,” katanya.
Majlis itu turut menyaksikan lafaz Ikrar Bebas Rasuah (IBR) yang dipimpin Penolong Pengarah Pejabat MCMC Selangor, Ahmad Azri Zainal Abidin.
Selain itu, hadiah turut disampaikan kepada pemenang Pertandingan Berbalas Pantun, Video Kreatif serta Poster Digital Integriti dan Audit MCMC 2026.
Hadir sama, Ketua Setiausaha Kementerian Komunikasi merangkap Anggota Jawatankuasa Audit dan Risiko MCMC, Datuk Abdul Halim Hamzah; Pengerusi MCMC, Tan Sri Mohamad Salim Fateh Din; Anggota Suruhanjaya MCMC, Jeneral (B) Tan Sri Dato’ Sri Zulkifeli Mohd Zin; Pengarah Urusan MCMC, Abdul Karim Fakir Ali; Pengarah Kanan Akademi Pencegahan Rasuah Malaysia, Dato’ Mohamad Zamri Zainul Abidin serta Ketua Unit Integriti dan Governans MCMC, Abdullah Sani A Latib.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








