Data peribadi 7.7 juta pengguna Waze didakwa bocor di ‘Dark Web’
KUALA LUMPUR – Dakwaan penjualan data peribadi dan rekod lokasi GPS masa nyata hampir 7.7 juta pengguna Waze di platform dark web menimbulkan kebimbangan terhadap keselamatan serta privasi pengguna aplikasi navigasi itu.
Firma keselamatan siber, ClearPhish, dalam laporan yang dikeluarkan pada Februari 2025, memaklumkan seorang individu yang digelar “pelaku ancaman” mendakwa menawarkan pangkalan data berkenaan untuk dijual di sebuah platform pasaran dark web atau web tertutup.
Data yang didakwa terdedah itu merangkumi nama pengguna, nombor pengenalan unik (ID), sejarah perjalanan serta koordinat lokasi GPS masa nyata pengguna Waze, aplikasi navigasi milik Google.
Menurut laporan itu, sekiranya dakwaan berkenaan benar, maklumat tersebut boleh disalahgunakan untuk menjejaki pergerakan pengguna dan mendedahkan mereka kepada pelbagai ancaman keselamatan.
“Ketirisan itu amat membimbangkan kerana boleh membolehkan penyerang menjejaki pengguna secara masa nyata, sekali gus mendedahkan mereka kepada ancaman keselamatan seperti pengintipan maya, serangan tertentu atau kecurian identiti,” menurut laporan itu.
Baca juga : Terma Waze tetapkan bidang kuasa mahkamah Israel bagi pertikaian perkhidmatan – MKN
Isu keselamatan data Waze bukan perkara baharu apabila penyelidik keselamatan siber, Peter Gasper, sebelum ini mendedahkan kelemahan Antara Muka Pengaturcaraan Aplikasi (API) yang boleh dieksploitasi untuk menjejaki pergerakan pengguna secara masa nyata.
“Walaupun Google dilaporkan telah membaiki beberapa kelemahan itu, dakwaan terbaru menunjukkan bahawa Waze mungkin masih mempunyai banyak kelemahan dari segi keselamatan,” menurut laporan berkenaan.
ClearPhish memberi amaran bahawa akses kepada data lokasi masa nyata dan pengecam unik pengguna boleh dimanfaatkan penjenayah siber untuk memantau corak perjalanan, menyamar sebagai individu atau melakukan kegiatan berniat jahat.
Risiko itu turut merangkumi pengintipan maya, kecurian identiti, pancingan data serta manipulasi perkhidmatan navigasi yang boleh mengancam keselamatan pengguna.
Laporan itu turut membangkitkan kemungkinan kandungan lain yang dijana pengguna, termasuk pilihan laluan dan laporan yang dikongsi menerusi aplikasi berkenaan, terjejas dalam insiden yang didakwa berlaku itu.
“Memandangkan Waze bergantung pada data yang dikumpulkan daripada pengguna, ketirisan itu turut menimbulkan persoalan sama ada kandungan lain yang dijana pengguna, seperti pilihan laluan dan laporan yang dikongsi turut terjejas,” menurut laporan itu.
Bagaimanapun, Google masih belum mengesahkan secara rasmi dakwaan ketirisan data berkenaan.
Sehubungan itu, pakar keselamatan siber menasihatkan pengguna supaya mengambil langkah berjaga-jaga, termasuk mengemas kini kata laluan akaun, menyahaktifkan penjejakan lokasi pada peranti mudah alih ketika aplikasi tidak digunakan serta berwaspada terhadap cubaan pancingan data dan aktiviti log masuk mencurigakan.
Pengguna juga disaran mempertimbangkan penggunaan rangkaian persendirian maya (VPN) bagi meningkatkan perlindungan data.
Laporan itu turut memberi amaran bahawa sekiranya kebocoran berkenaan disahkan, Waze dan Google berkemungkinan berdepan tindakan undang-undang.
“Buat masa ini, pengguna Waze perlu sentiasa berwaspada, mengehadkan kebenaran perkongsian data aplikasi itu dan mengikuti perkembangan kenyataan rasmi berhubung ketirisan berkenaan,” menurut laporan itu.
Dalam perkembangan berkaitan, kerajaan semalam memutuskan untuk melarang semua penjawat awam menggunakan aplikasi navigasi Waze bagi melindungi maklumat kerajaan dan data peribadi pengguna daripada ancaman penyalahgunaan oleh rejim Israel.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, berkata keputusan itu dibuat dengan mengambil kira kedudukan Waze Mobile Ltd sebagai pengawal data pengguna yang diperbadankan dan beroperasi di bawah undang-undang Israel.
Sebagai alternatif, beliau menggalakkan orang ramai menggunakan aplikasi navigasi tempatan, TuJu, yang dibangunkan oleh Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM).
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








