BERITA SEMASA

Pengusaha bas sekolah perlu kemas kini data pemandu bagi bantuan RM1,000

KUALA LUMPUR – Pemilik dan pengusaha bas sekolah di seluruh negara perlu mengemas kini maklumat pemandu masing-masing menerusi portal Agensi Pengangkutan Awam Darat (APAD) mulai hari ini hingga 30 Oktober bagi memastikan urusan penyaluran Bantuan Khas Kewangan RM1,000 berjalan lancar.

Bantuan berkenaan akan diagihkan secara berperingkat bermula 22 Oktober ini, selaras dengan hasrat Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim supaya pembayaran diselesaikan sebelum sambutan Deepavali tahun ini.

APAD dalam satu kenyataan berkata, beberapa langkah telah dipersetujui hasil libat urus bersama Persekutuan Persatuan-Persatuan Bas Sekolah Malaysia serta Persatuan Pengusaha Bas Sekolah Kuala Lumpur dan Selangor bagi memastikan proses pengesahan kelayakan dan pembayaran dapat dilaksanakan dengan teratur.

“Antara langkah yang akan dilaksanakan ialah semakan dan pengesahan semula data pemandu bas sekolah dalam pangkalan data APAD, Lembaga Pelesenan Kenderaan Perdagangan (LPKP) serta Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ),” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Semakan tersebut turut melibatkan status kesahan lesen memandu dan lesen vokasional (PSV) bagi memastikan setiap penerima memenuhi syarat kelayakan yang ditetapkan.

Sebelum ini, Anwar ketika membentangkan Belanjawan 2027 pada Jumaat lalu mengumumkan bantuan sekali bayar sebanyak RM1,000 kepada pemandu teksi, kereta sewa dan bas sekolah.

Bantuan itu dibiayai hasil kutipan jualan siri nombor pendaftaran khas ‘H’ yang dilaksanakan sempena sambutan Hari Malaysia.

JPJ dilaporkan berjaya mengumpul RM91.2 juta menerusi lelongan dalam talian siri nombor pendaftaran berkenaan yang berlangsung dari 16 hingga 20 September lalu.

Sehubungan itu, APAD mengingatkan pemilik dan pengusaha bas sekolah supaya memastikan maklumat pemandu dikemukakan dengan lengkap serta dikemas kini, termasuk nama, alamat, nombor telefon, lesen memandu dan lesen PSV yang masih sah.

Mereka juga perlu menyediakan nombor akaun bank pemandu bagi membolehkan pembayaran bantuan berkenaan disalurkan.

Proses kemas kini maklumat boleh dilakukan menerusi portal rasmi APAD di https://bantuanpemandu.mot.gov.my/bas-sekolah.

“Semua pemilik dan pengusaha bas sekolah supaya mengambil tindakan dalam tempoh yang ditetapkan serta memastikan maklumat yang diberikan tepat bagi mempercepat proses pengesahan kelayakan.

“Kerjasama semua pihak penting bagi memastikan bantuan dapat disalurkan kepada pemandu bas sekolah yang layak, selaras usaha kerajaan membantu golongan terbabit dalam sektor pengangkutan awam,” tambahnya.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button