BERITA SEMASA

Mohd Shuhaily jalankan tugas seperti biasa selagi tiada arahan dari pentadbiran – Peguam

SEPANG – Kedudukan Ketua Pengarah Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan Malaysia (AKPS), Datuk Seri Mohd Shuhaily Mohd Zain, dalam perkhidmatan awam belum berubah setakat ini walaupun dia berdepan dua pertuduhan berkaitan dakwaan mencederakan dua anggota Cawangan Khas.

Peguamnya, Datuk Rosal Azimin Ahmad berkata, Mohd Shuhaily masih menjalankan tanggungjawab seperti biasa kerana belum menerima sebarang arahan pentadbiran yang menghalangnya daripada berbuat demikian.

“Keputusan berhubung status perkhidmatan beliaubergantung kepada pihak berkuasa pentadbiran yang berkenaan.

“Setakat ini, tanpa sebarang arahan, beliau tetap akan bertugas seperti biasa,” katanya dalam sidang media di Kompleks Mahkamah Sesyen dan Majistret Sepang, hari ini.

Dalam prosiding sama, mahkamah menetapkan wang jaminan sebanyak RM3,000 terhadap Mohd Shuhaily, iaitu RM1,500 bagi setiap pertuduhan, dengan seorang penjamin.

Menurutnya, jumlah tersebut lebih rendah daripada RM10,000 yang dicadangkan pihak pendakwaan bagi kedua-dua pertuduhan berkenaan.

Beliau turut memaklumkan sebutan semula kes ditetapkan pada 25 November depan.

“Pihak pembelaan kini menunggu dokumen berkaitan di bawah Seksyen 51A Kanun Tatacara Jenayah untuk diteliti sebelum menentukan tindakan lanjut, termasuk kemungkinan mengemukakan representasi.

“Mohd Shuhaily menerima perkara yang berlaku dengan hati terbuka dan bersedia melalui proses perundangan.

“Beliau reda dengan apa yang berlaku dan tidak menyalahkan mana-mana pihak,” tambahnya.

Mohd Shuhaily, 54, sebelum ini didakwa berhubung insiden yang didakwa berlaku di Terminal 1 Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) pada 28 September lalu.

Kes itu membabitkan dua anggota Cawangan Khas, Mohammad Faiz Muhamad Saman, 40, dan Muhammad Ekmal Sofwan Driman.

Kedua-dua pertuduhan dikaitkan dengan Seksyen 323 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara sehingga setahun atau denda maksimum RM2,000 atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.

Insiden berkenaan turut menjadi perhatian selepas satu rakaman video tersebar di media sosial, memaparkan seorang lelaki yang menyerupai Mohd Shuhaily memarahi dua lelaki di lapangan terbang, dengan seorang daripada mereka dilihat ditarik pada bahagian telinga.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button