BERITA SEMASA

Jepun bekal sistem penangkis dron RM40 juta kepada Malaysia

KUALA LUMPUR – Malaysia bakal menerima Sistem Penangkis Pesawat Tanpa Pemandu (C-UAS) bernilai kira-kira RM40 juta daripada Jepun sebagai usaha memperkukuh keupayaan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) menghadapi ancaman dron.

Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, bantuan itu dimeterai menerusi perjanjian di bawah program Bantuan Keselamatan Rasmi (OSA) Jepun 2026 bersama Menteri Luar Jepun, Toshimitsu Motegi, semalam.

Beliau berkata, Malaysia mula menerima bantuan menerusi program berkenaan sejak 2023, merangkumi 14 kenderaan udara tanpa pemandu (UAV), tujuh bot penyelamat dan dua lori pembersih jalan dengan nilai keseluruhan RM12.63 juta.

Menurutnya, di bawah program OSA 2025, Jepun turut memperuntukkan kira-kira RM80 juta kepada Malaysia, termasuk sebuah kapal sokongan untuk Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) yang dijadual diserahkan pada 2029 serta peralatan bagi Pasukan Pemerhati ASEAN (AOT).

Mohamed Khaled merakamkan penghargaan kepada kerajaan Jepun atas bantuan dan komitmen berterusan dalam memperkukuh kerjasama pertahanan antara kedua-dua negara.

“Malaysia berharap dapat terus memanfaatkan program ini, terutamanya dalam memperkasakan keupayaan pengawasan maritim serta kesiapsiagaan operasi angkatan tentera,” katanya menerusi kenyataan di media sosial.

Beliau berkata, kerjasama itu mencerminkan hubungan pertahanan yang terus berkembang antara Malaysia dan Jepun, khususnya dalam meningkatkan keupayaan keselamatan serta kesiapsiagaan ATM menghadapi ancaman semasa.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button