BERITA SEMASA

Guthrie nafi cetus kebakaran hutan di Indonesia

KUALA LUMPUR – SD Guthrie (Guthrie) menafikan dakwaan mengaitkan anak syarikat atau pekerjanya dengan kebakaran hutan di Indonesia, sambil menegaskan tuduhan berkenaan tidak disokong bukti kukuh.

Syarikat perladangan itu berkata, pemeriksaan terkini di lapangan tidak menemukan kebakaran aktif di mana-mana ladangnya di negara itu, selain menjelaskan beberapa syarikat yang dikaitkan dengannya dalam laporan awam bukan milik atau di bawah kawalannya.

“Pemeriksaan tidak menemukan sebarang bukti bahawa kebakaran berpunca daripada anak-anak syarikat atau pekerja Guthrie. Beberapa syarikat yang telah dikaitkan dengan Guthrie dalam laporan awam juga sebenarnya tidak dimiliki, diurus mahupun dikawal oleh Guthrie.

“Sebarang rujukan kepada Guthrie yang bersandarkan maklumat lama atau tidak tepat perlu diperbetulkan bagi mengelakkan kekeliruan,” katanya dalam satu kenyataan.

Guthrie turut menjelaskan, tindakan membantu pihak berkuasa memadam kebakaran di luar kawasan operasinya tidak boleh dianggap sebagai bukti syarikat itu menjadi punca kebakaran.

Sebaliknya, syarikat berkenaan berkata, pelbagai langkah pencegahan dilaksanakan, termasuk pemantauan paras air secara masa sebenar, pemantauan air bawah tanah di kawasan tanah gambut, kawalan kelembapan serta program pencegahan kebakaran bersama masyarakat.

“Sejak 1985, kita telah melaksanakan dasar sifar pembakaran yang ketat di seluruh kawasan operasi, di samping mendukung komitmen pembangunan tanpa penebangan hutan, tanpa tanah gambut dan tanpa eksploitasi.

“Apabila kebakaran dikesan dalam kawasan atau berhampiran sempadan operasi Guthrie, kita bertindak serta-merta tanpa mengira punca kebakaran. Anak syarikat kita di Indonesia, Minamas Plantation, mempunyai 67 pasukan pemadam kebakaran yang terdiri daripada 1,005 anggota terlatih.

“Keupayaan ini ditambah dengan dron serta pemantauan inframerah meliputi kawasan konsesi perladangan dan kira-kira 322,000 hektar tanah masyarakat di sekitar,” katanya.

Dalam pada itu, Guthrie mendakwa laporan berkenaan berkemungkinan menggunakan peta Hak Guna Usaha lama yang tidak menggambarkan status pemilikan atau sempadan operasi semasa.

Syarikat itu turut menolak dakwaan bahawa pokok sawit di kawasan kebakaran sudah matang dan perlu ditebang, sebaliknya menjelaskan pokok berkenaan masih muda serta produktif.

“Justeru, tiada keperluan bagi Guthrie membakar kawasan tersebut bagi pembersihan tanah. Profil umur pokok berkenaan juga tidak menyokong dakwaan Guthrie sengaja mencetuskan kebakaran,” katanya.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button