BISNES & EKONOMI

Skor kebebasan ekonomi Malaysia capai skor tertinggi sejak 1970

KUALA LUMPUR – Malaysia merekodkan skor kebebasan ekonomi tertinggi sejak indeks berkenaan diperkenalkan pada 1970, namun kedudukannya merosot dua anak tangga kepada tempat ke-35 daripada 165 negara dalam laporan tahunan terbaharu.

Menurut Center for Market Education (CME), Malaysia memperoleh skor 7.57 daripada 10 dalam Economic Freedom of the World: 2026 Annual Report, meningkat sedikit berbanding 7.55 pada tahun lalu.

Walau bagaimanapun, peningkatan itu belum mencukupi untuk mengekalkan kedudukan ke-33 apabila negara lain mencatatkan kemajuan lebih pantas.

Menurut kumpulan pemikir itu, tahap kebebasan ekonomi Malaysia kini jauh lebih baik berbanding pada awal abad ini, meskipun negara pernah mengalami kemerosotan ketara susulan krisis kewangan Asia.

“Ekonomi Malaysia kini jauh lebih bebas berbanding pada awal abad ini. Skor negara merosot daripada 6.99 (kedudukan ke-36) pada 1995 kepada 6.12 pada 2002 susulan krisis kewangan Asia, apabila kawalan modal dan kejutan dasar mula memberi kesan.

“Kedudukan skor negara jatuh ke paras terendah di tempat ke-97 pada 2009, namun meningkat kembali secara konsisten sejak itu,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Di rantau ASEAN, Malaysia mengekalkan kedudukan sebagai ekonomi kedua paling bebas selepas Singapura yang memperoleh 8.43 mata, sekali gus menduduki tempat ketiga di peringkat global.

Hong Kong mendahului senarai global dengan skor 8.53, diikuti Switzerland, Singapura, New Zealand dan Amerika Syarikat.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif CME, Dr Carmelo Ferlito berkata, pencapaian skor tertinggi Malaysia itu merupakan perkembangan positif, namun tidak seharusnya membuatkan negara berasa selesa ketika ekonomi lain bergerak lebih pantas melaksanakan pembaharuan.

Beliau berkata, kestabilan kewangan negara dan pasaran buruh yang fleksibel kekal sebagai antara kekuatan utama Malaysia.

“Bagaimanapun, penglibatan negara dalam ekonomi melalui syarikat berkaitan kerajaan dan bank milik negara masih menjadi antara yang paling tinggi di dunia.

“Jika Malaysia mahu menyertai kelompok 20 negara teratas, ia mesti mengurangkan pemilikan oleh negara, memastikan perkhidmatan awam berlandaskan peraturan dan bersifat saksama, memudahkan struktur tarifnya, serta membuka pasaran kepada persaingan,” katanya.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button