Pemuda PAS Selangor gesa UiTM semak garis panduan program pelajar
SHAH ALAM – Pemuda PAS Selangor mendesak pentadbiran Universiti Teknologi MARA (UiTM) menyemak semula garis panduan kelulusan program pelajar susulan penganjuran acara hiburan yang didakwa berlebihan di UiTM Shah Alam baru-baru ini.
Timbalan Ketua Dewan Pemuda PAS Selangor, Dr Aubidullah Fahim Ibrahim berkata, tindakan tegas perlu diambil bagi mengelakkan penganjuran acara berunsur hiburan melampau daripada berulang.
Beliau berkata, penganjuran majlis yang disifatkan berteraskan hiburan berlebihan di institusi pengajian tinggi itu mendukacitakan dan mencalarkan imej universiti sebagai pusat kecemerlangan akademik bumiputera.
“Institusi pengajian tinggi sepatutnya berperanan membimbing mahasiswa berdepan ancaman krisis identiti dan gejala sosial, bukannya memupuk nilai hedonistik dalam kalangan golongan muda,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Dr Aubidullah berkata, mahasiswa yang sedang mencari hala tuju kehidupan memerlukan bimbingan intelektual dan rohani, bukannya hiburan yang boleh melekakan jiwa serta minda.
Beliau menegaskan PAS tidak menolak hiburan kerana ia sebahagian daripada fitrah manusia, namun mempersoalkan unsur hiburan dalam acara berkenaan, termasuk persembahan kumpulan artis M-Pop, XO Jr.
Menurutnya, kumpulan itu membawa imej, nilai dan acuan budaya K-Pop yang disifatkannya tidak memberikan nilai baik kepada mahasiswa tempatan.
Beliau turut mendakwa industri K-Pop berdepan pelbagai isu negatif, termasuk masalah kesihatan mental, tekanan melampau, kemurungan serta keruntuhan akhlak masyarakat akibat budaya pemujaan hiburan semata-mata.
Sehubungan itu, beliau menggesa pihak universiti kembali memberi penekanan kepada fungsi utamanya sebagai institusi ilmu menerusi pemerkasaan budaya ilmu, peluasan wacana akademik dan usaha mengasah ketajaman intelektual mahasiswa.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








