Malaysia timba pengalaman Aichi-Nagoya sebagai persiapan Sukan SEA, Para ASEAN 2027
KUALA LUMPUR – Penglibatan orang kurang upaya (OKU) dalam menguji kemudahan sukan sebelum digunakan atlet antara pendekatan yang akan diteliti Malaysia bagi persiapan menjadi tuan rumah Sukan SEA dan Sukan Para ASEAN 2027.
Menteri Belia dan Sukan, Dr Mohammed Taufiq Johari berkata, pendekatan yang dilaksanakan Aichi-Nagoya, Jepun itu penting bagi memastikan kemudahan disediakan benar-benar mesra dan selesa untuk atlet para.
Beliau berkata, golongan OKU diberi peluang mencuba sendiri kemudahan yang disediakan sebelum fasiliti berkenaan digunakan atlet pada Sukan Para Asia Aichi-Nagoya 2026.
“Pendekatan ini sangat baik kerana mereka yang paling memahami keperluan OKU ialah golongan OKU sendiri.
“Kita akan meneliti pendekatan ini untuk persiapan Sukan Para ASEAN 2027, supaya fasiliti yang disediakan benar-benar mesra dan selesa untuk atlet kita dan juga atlet dari negara-negara ASEAN,” katanya menerusi kenyataan, hari ini.
Taufiq mengadakan kunjungan hormat kepada Gabenor Wilayah Aichi, Hideaki Ohmura dan Datuk Bandar Nagoya, Ichiro Hirosawa di Nagoya Harbor Hall, Jepun, sempena temasya berkenaan hari ini.
Pertemuan itu turut memberi peluang kepada Malaysia mempelajari pengalaman Aichi-Nagoya dalam menguruskan Sukan Asia dan Sukan Para Asia secara berturut-turut.
“Saya berpeluang menyaksikan sendiri kedua-dua temasya, iaitu Sukan Asia bulan lalu dan Sukan Para Asia kali ini. Format penganjuran di Aichi-Nagoya sama seperti yang akan kita laksanakan tahun hadapan, iaitu temasya sukan pelbagai acara diikuti Sukan Para. Banyak yang boleh kita pelajari daripada pengalaman mereka,” katanya.
Menurut KBS, antara perkara utama yang dibincangkan ialah pengurusan sukarelawan yang menjadi tulang belakang kelancaran kedua-dua temasya di Aichi-Nagoya.
Pengalaman itu dilihat bernilai bagi Malaysia dalam merancang penglibatan sukarelawan untuk Sukan SEA ke-34 yang dijadual berlangsung pada 18 hingga 29 September 2027 dan Sukan Para ASEAN ke-14 pada 17 hingga 23 Oktober 2027 di Kuala Lumpur.
Sementara itu, kontinjen Malaysia ke Sukan Para Asia Aichi-Nagoya 2026 yang berlangsung dari 18 hingga 24 Oktober membabitkan 113 penyertaan, terdiri daripada 68 atlet dan 45 pegawai.
Kontinjen negara akan beraksi dalam 94 acara daripada 10 sukan, manakala atlet para olahraga acara lompat jauh T37, Muhammad Nazmi Nasri, diberi penghormatan membawa Jalur Gemilang pada majlis perasmian temasya.
Taufiq turut menjemput Ohmura dan Hirosawa berkunjung ke Malaysia sempena Sukan SEA dan Sukan Para ASEAN 2027, selain merakamkan penghargaan kepada Wilayah Aichi, Bandaraya Nagoya dan jawatankuasa penganjur atas layanan mesra serta kelancaran pengurusan kontinjen Malaysia.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








