125 motosikal disita, 447 notis dikeluarkan dalam operasi di Kuala Terengganu
KUALA TERENGGANU – Sebanyak 125 motosikal disita manakala 447 notis kompaun trafik dikeluarkan dalam operasi polis terhadap penunggang motosikal yang melakukan pelbagai kesalahan di sekitar bandar raya ini, awal pagi tadi.
Ketua Polis Daerah Kuala Terengganu, Asistan Komisioner Azli Mohd Noor berkata, operasi dijalankan di Padang Midin dan pusat bandar raya susulan rungutan orang awam berhubung tindakan segelintir penunggang motosikal yang menunggang secara berbahaya serta membuat bising di kawasan perumahan.
Menurutnya, kebanyakan individu terbabit terdiri daripada golongan remaja, termasuk sebahagian penunggang yang berada di bandar raya itu sempena acara permotoran pada hujung minggu ini.
“Kita menerima rungutan awam yang kurang senang tindakan segelintir penunggang motosikal yang kebanyakannya remaja menunggang motosikal secara berbahaya dan membuat bising di sekitar kawasan perumahan.
“Bandar raya ini juga menerima limpahan penunggang motosikal yang sebahagiannya menyertai sebuah acara permotoran pada hujung minggu ini,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Azli berkata, sebanyak 237 motosikal diperiksa dalam operasi berkenaan, dengan 125 daripadanya disita mengikut Seksyen 64 Akta Pengangkutan Jalan 1987.
Beliau berkata, sebanyak 447 notis kompaun trafik turut dikeluarkan atas pelbagai kesalahan.
Sehubungan itu, beliau menasihatkan orang ramai, khususnya golongan remaja, supaya sentiasa mematuhi undang-undang jalan raya dan menjauhi aktiviti samseng jalanan.
“Ibu bapa juga digesa memantau aktiviti anak-anak mereka agar tidak terjebak dalam gejala menyalahi undang-undang,” katanya.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |







