Pembantu kedai rugi RM77,889 terpedaya tawaran kerja sambilan palsu
KUALA TERENGGANU – Seorang pembantu kedai makan berputih mata apabila kerugian RM77,889 selepas diperdaya sindiket yang menawarkan pekerjaan sambilan palsu melalui Instagram.
Ketua Polis Daerah Kuala Terengganu, Asisten Komisioner Azli Mohd Noor berkata, mangsa berusia 34 tahun itu tampil membuat laporan di Balai Polis Kuala Terengganu pada pukul 4.10 petang semalam.
Menurutnya, mangsa menerima tawaran kerja daripada seorang individu dikenali sebagai Chen iaitu kenalan yang berhubung melalui Instagram pada 4 Oktober lalu.
“Mangsa dijanjikan pulangan keuntungan 10 peratus sebagai rakan niaga bagi jualan pakaian dan aksesori wanita.
“Mangsa memuat naik serta mendaftar satu aplikasi yang diberikan suspek dan menerima beberapa pesanan pelanggan menerusi platform itu,” katanya memetik laporan Buletin TV3.
Tambah beliau, sebelum pesanan boleh diselesaikan, mangsa diminta membuat bayaran yuran proses dengan alasan wang itu akan dipulangkan bersama keuntungan setelah transaksi selesai.
Mangsa yang percaya dengan janji tersebut kemudiannya membuat beberapa pembayaran secara berperingkat antara 16 Oktober hingga 26 November ke enam akaun bank berbeza melibatkan jumlah keseluruhan RM77,889.
Walaupun semua bayaran dibuat, mangsa langsung tidak menerima sebarang keuntungan seperti dijanjikan.
“Wang yang digunakan adalah daripada simpanan peribadi mangsa serta pinjaman daripada kenalan dan saudara mara. Kes kini disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu,” katanya.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








