BERITA SEMASA

NADI berpotensi jadi pusat khidmat komuniti seperti UTC, RTC – Fahmi

KUALA LUMPUR – Pusat Sebaran Maklumat Nasional (NADI) berpotensi diperluas fungsinya sebagai pusat perkhidmatan komuniti berskala kecil yang menyediakan pelbagai kemudahan digital, seumpama Pusat Transformasi Bandar (UTC) dan Pusat Transformasi Luar Bandar (RTC).

Menteri Komunikasi, Datuk Seri Fahmi Fadzil berkata, pendekatan itu mampu memudahkan penduduk, khususnya di kawasan luar bandar, mendapatkan akses kepada pelbagai perkhidmatan tanpa perlu bergerak jauh ke bandar.

Menurut beliau, NADI bukan sekadar berfungsi sebagai pusat capaian internet, malah boleh dimanfaatkan untuk menyokong keperluan masyarakat dalam bidang pendidikan, kesihatan dan keusahawanan.

Beliau berkata, Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) kini menguruskan sebanyak 1,099 NADI di seluruh negara, dengan Sarawak mencatatkan jumlah tertinggi iaitu 156 pusat, diikuti Sabah dan Johor.

Bagi memperluas manfaat kemudahan itu kepada penduduk yang tinggal jauh dari pusat NADI, inisiatif NADI on Wheels (NOW) turut dilaksanakan bagi membawa program pendidikan digital dan perkhidmatan berkaitan terus ke kawasan kampung.

Inisiatif berkenaan menyasarkan komuniti yang berada kira-kira tiga hingga empat kilometer atau lebih dari pusat NADI, sekali gus membantu mengurangkan kekangan jarak untuk mendapatkan kemudahan digital.

Dalam pada itu, Fahmi berkata, NADI juga berpotensi memainkan peranan dalam memperluas akses kepada perkhidmatan kesihatan menerusi penggunaan teknologi digital.

Usaha itu termasuk kerjasama strategik antara Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan Kementerian Komunikasi melalui MCMC menerusi inisiatif Pemacu Ekosistem dan Ketersambungan Kesihatan Digital Negara (PERSADA).

Melalui pendekatan berkenaan, kemudahan NADI berpotensi dihubungkan dengan klinik kesihatan bagi membolehkan perkhidmatan telekesihatan dan teleperubatan dilaksanakan, termasuk pemeriksaan asas seperti tekanan darah dan paras glukosa serta konsultasi doktor secara dalam talian di pusat terpilih.

Fahmi turut memaklumkan bahawa beberapa NADI mempunyai kelajuan internet sehingga satu gigabit sesaat (Gbps), termasuk di Felda Suharto dan Kampung Simsim, Sandakan, manakala kelajuan internet di Parlimen Malaysia ialah 800 megabit sesaat (Mbps).

Beliau berkata, dengan kemudahan dan fungsi yang boleh diperluas, NADI berpotensi menjadi hab komuniti yang membantu penduduk mendapatkan akses digital lebih menyeluruh, sekali gus membuka peluang dalam pendidikan, kesihatan dan pembangunan ekonomi setempat.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button