BERITA SEMASA

Simpanan air empangan MADA merosot, hujan berkurangan hampir 30 peratus

ALOR SETAR – Simpanan air di tiga empangan Lembaga Kemajuan Pertanian Muda (MADA) merosot kepada 40.13 peratus susulan taburan hujan di kawasan tadahan Empangan Pedu berkurangan hampir 30 peratus berbanding purata.

MADA berkata, keadaan cuaca panas dan kering berpanjangan dari Januari hingga Mei lalu menjejaskan aliran masuk air ke empangan, sekali gus menyebabkan paras takungan semakin menurun.

“Sehingga Selasa, Empangan Pedu merekodkan simpanan air sebanyak 40.82 peratus, diikuti Empangan Ahning (45.38 peratus) dan Empangan Muda (25.92 peratus),” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Bagi meningkatkan simpanan air, MADA melaksanakan lima siri operasi pembenihan awan (OPA) sejak Februari lalu dengan kerjasama Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA), Jabatan Meteorologi Malaysia (MET Malaysia) dan Lembaga Sumber Air Negeri Kedah (LSANK).

Menurut kenyataan itu, susulan permohonan pada 15 September lalu, NADMA bersetuju melaksanakan operasi pembenihan awan di kawasan tadahan Empangan Muda dan Pedu bermula Isnin lalu hingga Khamis ini bagi menggalakkan hujan.

Dalam pada itu, MADA menyarankan pesawah memanfaatkan air hujan yang bertakung di kawasan sawah sebagai sumber pengairan bagi Musim 1/2026 tanpa pelepasan air empangan untuk pengairan padi.

“Pelepasan air secara berhemat hanya dilaksanakan bagi memenuhi keperluan domestik dan industri serta mengekalkan paras air dalam saluran bagi mengukuhkan tebing,” katanya lagi.

MADA turut meneruskan pengoperasian 117 pam guna semula untuk memanfaatkan air dalam sistem saliran dan sungai bagi menyokong keperluan tanaman.

“Pengendalian struktur kawalan air dan sistem pengairan juga dilaksanakan bagi meningkatkan kecekapan pengagihan air ke kawasan sawah.

“Pemantauan berterusan turut dilakukan menggunakan sistem telemetri bagi memantau paras takungan empangan dan keadaan kawasan tadahan hujan,” menurut kenyataan itu lagi.

Menjelang fasa peralihan monsun sebelum bermulanya Monsun Timur Laut, MADA akan terus memantau perkembangan cuaca dan paras takungan empangan bagi mengoptimumkan pengumpulan serta pengurusan sumber air.

MADA berkata, peningkatan simpanan air bergantung pada jumlah, taburan dan tempoh hujan yang diterima di kawasan tadahan masing-masing.

Pada masa sama, bekalan air bagi musim penanaman padi akan datang akan terus dinilai berdasarkan paras takungan, aliran masuk air, perkembangan cuaca dan keperluan sebenar di lapangan.

Penilaian itu dilaksanakan melalui penyelarasan bersama Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) serta agensi berkaitan bagi memastikan kelangsungan penanaman padi dan keterjaminan makanan negara.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button