Dakwaan pelajar Malaysia ditahan seludup 4kg syabu di Indonesia tidak benar
KUALA LUMPUR – Polis menafikan dakwaan tular kononnya seorang penuntut universiti tempatan ditahan di Indonesia kerana disyaki menyeludup empat kilogram dadah jenis methamphetamine atau syabu ke negara itu.
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman, Datuk Hussein Omar Khan berkata, siasatan mengesahkan lelaki yang ditahan pihak berkuasa Indonesia itu ialah warga negara berkenaan dan bukannya rakyat Malaysia seperti yang dilaporkan.
Beliau berkata, lelaki terbabit ditahan polis Tanjung Balai, Sumatera Utara pada 10 Oktober lalu selepas tiba di Terminal Feri Teluk Nibung dari Port Dickson, Negeri Sembilan.
“Siasatan awal mendapati pihak berkuasa Indonesia menahan seorang lelaki warga negara itu yang tiba di Terminal Feri Teluk Nibung dari Port Dickson.
“Pemeriksaan ke atas barangan miliknya menemui lapan bungkusan plastik mengandungi bahan disyaki dadah jenis methamphetamine seberat kira-kira empat kilogram,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Hussein berkata, siasatan lanjut mendapati dadah berkenaan diserahkan kepada suspek oleh seorang lagi lelaki warga Indonesia di Lembah Klang.
“Suspek dipercayai dipertanggungjawabkan untuk membawa masuk bahan terlarang itu ke Indonesia melalui terminal feri Tanjung Balai.
“Polis mengambil maklum mengenai laporan media sosial yang mendakwa seorang pelajar universiti Malaysia ditangkap kerana menyeludup dadah terbabit.
“Dakwaan kononnya rakyat Malaysia ditahan dan seorang penuntut universiti ditahan kerana menyeludup empat kilogram syabu adalah tidak benar. Maklumat tidak tepat sebegini boleh mencetuskan kekeliruan dan keresahan kepada orang ramai,” katanya.
Justeru itu, beliau meminta pengamal media dan orang ramai supaya memastikan kesahihan maklumat dengan pihak berkuasa berkaitan sebelum menerbitkan atau menyebarkan laporan, terutama berkaitan kes pengedaran dadah antarabangsa.
Menurutnya, JSJN akan terus bekerjasama dengan pihak berkuasa Indonesia bagi mendapatkan maklumat perisikan serta mengenal pasti sumber bekalan dadah berkenaan.
“JSJN akan terus bekerjasama rapat dengan pihak berkuasa Indonesia bagi mendapatkan maklumat perisikan serta mengenal pasti sumber bekalan dadah terbabit.
“Pihak penyiasat juga akan berusaha melumpuhkan rangkaian pengedaran dadah yang beroperasi di Malaysia dan dipercayai mempunyai kaitan dengan kes berkenaan,” katanya.
Orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai aktiviti pengedaran dadah supaya menyalurkannya menerusi talian hotline JSJN di 012-208 7222.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








