Veteran ATM, waris nikmati diskaun 10 peratus di MYDIN
KUALA LUMPUR – Veteran Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dan waris berdaftar layak menikmati diskaun 10 peratus bagi 30 hingga 35 kategori barangan terpilih di semua gedung MYDIN di seluruh negara menerusi inisiatif kerjasama kebajikan bersama sektor swasta.
Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, inisiatif melalui keahlian MYDIN Rewards itu merupakan antara usaha membantu mengurangkan beban perbelanjaan veteran serta tanggungan mereka.
Menurutnya, keistimewaan berkenaan boleh dinikmati secara berterusan selagi keahlian MYDIN Rewards masih aktif, selain membolehkan ahli mengumpul mata ganjaran dan menggunakan baucar diskaun sedia ada.
“Inisiatif ini bukan sahaja menjadi satu kelebihan yang dinikmati secara terus oleh para veteran dan tanggungan mereka, namun ia menjadi bukti bagaimana semua pihak boleh mencari jalan untuk bersama-sama memberi penghargaan kepada veteran ATM,” katanya ketika berucap pada Majlis Peluncuran Kempen Tabung Pahlawan 2026/2027 di Wisma Perwira, di sini hari ini.
Selain kerjasama dengan MYDIN, Kementerian Pertahanan turut menjalin kerjasama dengan Takaful Ikhlas Family Berhad menerusi program Derma Ikhlas Veteran ATM (DIVA).
Melalui program itu, veteran ATM dan ahli keluarga yang menyertai serta membuat caruman bulanan serendah RM20 layak menikmati manfaat perlindungan takaful.
Khaled menggalakkan veteran dan keluarga mereka mengambil peluang menyertai program berkenaan bagi mendapatkan perlindungan untuk diri sendiri serta ahli keluarga.
“Kedua-dua inisiatif itu membuktikan bahawa penglibatan sektor swasta dalam menjaga kebajikan veteran tidak semestinya terhad kepada sumbangan wang tunai, sebaliknya boleh dilaksanakan menerusi penyediaan manfaat yang memberi kesan langsung kepada kehidupan mereka,” katanya.
Beliau turut merakamkan penghargaan kepada MYDIN dan Takaful Ikhlas Family Berhad atas sokongan yang diberikan, selain berharap lebih banyak syarikat tampil melaksanakan inisiatif seumpama itu.
Menurutnya, kesejahteraan veteran merupakan tanggungjawab bersama kerana jasa dan pengorbanan mereka kepada negara wajar terus dihargai meskipun sudah tidak lagi berkhidmat secara aktif.
Beliau berkata, kerjasama antara kerajaan, sektor korporat dan masyarakat penting bagi memastikan veteran ATM serta keluarga mereka terus mendapat perhatian dan sokongan sewajarnya.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








