Dua lelaki maut, lima cedera nahas dua kenderaan di Glenmarie
SHAH ALAM – Dua lelaki berusia 20 tahun maut manakala lima individu lain cedera dalam kemalangan membabitkan sebuah Proton Wira Aeroback dan Proton Exora di Jalan Penyajak U1/45B, Hicom-Glenmarie Industrial Park, di sini awal pagi tadi.
Dalam kejadian pada pukul 12.27 tengah malam itu, kedua-dua mangsa yang maut merupakan penumpang Proton Wira Aeroback yang dinaiki empat lelaki.
Penolong Pengarah Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor, Ashrul Riezal Asbar berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pada 12.27 tengah malam.
Katanya, seramai 14 anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Subang Jaya serta BBP Bukit Jelutong dikejarkan ke lokasi kejadian.
“Jentera bomba tiba di lokasi pada 12.44 tengah malam dan operasi berjaya dikawal pada 1.05 pagi,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata, kemalangan itu membabitkan sebuah Proton Wira Aeroback yang nombor pendaftarannya tidak dapat dikenal pasti dan sebuah Proton Exora.
Menurutnya, selain dua lelaki berusia 20 tahun yang maut, dua lagi lelaki berusia 19 tahun yang menaiki Proton Wira Aeroback mengalami kecederaan ringan.
“Proton Exora pula dinaiki tiga individu iaitu seorang wanita berusia 29 tahun, seorang lelaki berusia 27 tahun dan seorang lelaki berusia 28 tahun.
“Ketiga-tiga mereka turut mengalami kecederaan ringan dalam kejadian itu. Semua mangsa diserahkan kepada Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) untuk tindakan lanjut,” katanya.
Tambah beliau, operasi menyelamat itu membabitkan sebuah jentera Fire Rescue Tender (FRT) dari BBP Subang Jaya serta sebuah jentera FRT dan sebuah jentera Emergency Medical Rescue Services (EMRS) dari BBP Bukit Jelutong.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








