SUKAN

MotoGP 2026: Kehadiran 200,000 penonton jadi sasaran

KUALA LUMPUR – Kementerian Belia dan Sukan (KBS) menyasarkan kehadiran 200,000 penonton pada perlumbaan MotoGP 2026 di Litar Antarabangsa Sepang (SIC), susulan sambutan menggalakkan terhadap acara sukan permotoran di negara ini.

Menteri Belia dan Sukan, Dr Mohamad Taufiq Johari berkata, pihaknya optimis sasaran itu dapat dicapai berikutan momentum dan keterujaan peminat sukan permotoran selepas berakhirnya perlumbaan Formula Satu (F1) di Sepang.

Menurutnya, sambutan bukan sahaja dijangka melibatkan rakyat Malaysia, malah pengunjung dari luar negara yang turut menantikan kesinambungan acara sukan permotoran berprestij itu.

“Kita menyasarkan kehadiran 200,000 penonton dan sangat optimis sasaran itu dapat dicapai,” katanya kepada media selepas sidang media MotoGP 2026 di Kuala Lumpur hari ini.

Dalam perkembangan lain, beliau berharap pelumba negara, Hakim Danish dapat memberikan persembahan terbaik dengan sokongan peminat tempatan, terutama kerana pelumba itu sudah biasa dengan litar berkenaan.

Mengulas potensi Malaysia menjadi lokasi alternatif bagi perlumbaan F1 susulan konflik di Asia Barat, Mohamad Taufiq berkata, KBS bersama SIC akan membentuk jawatankuasa khas bagi menilai kebolehlaksanaan penganjuran F1 pada masa hadapan.

Beliau berkata, perkara itu akan dibincangkan bersama pihak berkaitan dan keputusan perlu dibuat berdasarkan fakta serta data, termasuk mengambil kira manfaat ekonomi kepada negara.

“Jika penganjuran ini menguntungkan negara, kita akan meneliti perkara itu. Namun, jika merugikan, kita akan membawa perkara berkenaan kepada Jemaah Menteri untuk keputusan selanjutnya,” katanya lagi.

Beliau turut berkata, kajian mengenai impak ekonomi penganjuran acara sukan permotoran masih dijalankan dan belum mempunyai hasil muktamad.

“Penilaian bukan hanya tertumpu kepada jualan tiket, sebaliknya merangkumi limpahan ekonomi kepada peniaga, sektor perhotelan dan pelancongan, termasuk peluang perniagaan melalui inisiatif di bawah Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP),” katanya lagi.

Sementara itu, mengenai isu trafik ketika penganjuran F1 sebelum ini, beliau berkata beberapa penambahbaikan telah dilaksanakan dari hari pertama hingga hari ketiga, termasuk penambahan anggota RELA dan perkhidmatan bas serta penglibatan Rapid.

Menurutnya, pengalaman itu akan dijadikan asas penilaian bagi memperbaiki aspek komunikasi, pengurusan acara, pengangkutan dan infrastruktur sekiranya penganjuran berskala besar diadakan lagi pada masa hadapan.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button