BERITA SEMASA

Lelaki maut dibaham harimau di taman hidupan liar UK

LONDON – Seorang lelaki maut selepas diserang harimau apabila memasuki kandang haiwan itu di Yorkshire Wildlife Park, berhampiran Doncaster, utara England, semalam.

Polis South Yorkshire berkata, pihaknya menerima laporan mengenai kejadian itu pada pukul 1.35 tengah hari sebelum anggota kecemasan dikejarkan ke lokasi.

Mangsa disahkan meninggal dunia di tempat kejadian meskipun petugas perubatan berusaha menyelamatkannya. Identiti lelaki itu belum didedahkan kepada umum.

Menurut polis, harimau terbabit tidak mengalami kecederaan dan kekal berada di dalam kandangnya selepas kejadian.

Susulan insiden itu, taman hidupan liar berkenaan dikosongkan, manakala polis meneruskan siasatan bagi mengenal pasti keadaan yang membawa kepada kejadian berkenaan.

Polis turut menggesa orang ramai supaya tidak menyebarkan rakaman kejadian yang tular di media sosial demi menghormati mangsa dan keluarganya.

Yorkshire Wildlife Park mula beroperasi pada 2009, manakala tarikan Land of the Tigers dibuka pada 2011.

Kawasan itu menempatkan harimau Amur, juga dikenali sebagai harimau Siberia, dalam habitat khas yang direka untuk haiwan berkenaan.

Menurut laporan media antarabangsa, keadaan yang menyebabkan lelaki itu memasuki kandang berkenaan masih belum dipastikan secara rasmi.

 

 

 

 

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button