Sambutan Hari Sukan Negara peringkat kebangsaan ditangguhkan – KBS
KUALA LUMPUR – Kementerian Belia dan Sukan (KBS) menangguhkan sambutan Hari Sukan Negara (HSN) Peringkat Kebangsaan 2026 yang dijadualkan berlangsung di Bukit Jalil, esok berikutan keadaan jerebu.
KBS dalam kenyataan hari ini memaklumkan, keputusan itu dibuat selepas perbincangan dengan agensi kerajaan berkaitan, selain mengambil kira aspek kesihatan awam dan keselamatan peserta, penganjur serta orang ramai.
“Tarikh baharu penganjuran akan diumumkan kelak, tertakluk kepada pemulihan kualiti udara ke tahap yang selamat bagi aktiviti luar,” menurut kenyataan itu.
KBS turut menjunjung kasih atas keprihatinan dan titah Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim, berhubung keadaan jerebu yang melanda negara.
Sementara itu, penganjuran HSN di peringkat negeri dan lokasi lain tertakluk kepada keadaan setempat serta ketetapan pentadbiran masing-masing.
Setakat kenyataan itu dikeluarkan, sambutan HSN di Kuala Lumpur, Selangor, Johor, Kedah, Pulau Pinang, Negeri Sembilan dan Melaka turut ditangguhkan.
Bagaimanapun, acara di Pahang, Terengganu, Kelantan, Perlis, Perak, Sabah, Sarawak dan Wilayah Persekutuan Labuan diteruskan seperti dirancang.
Dalam pada itu, KBS menyeru orang ramai supaya mengehadkan aktiviti fizikal di luar rumah buat masa ini serta mematuhi nasihat dan panduan kesihatan yang dikeluarkan Kementerian Kesihatan (KKM) dan Jabatan Alam Sekitar (JAS).
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








