Pesawat Saudia terbakar dalam serangan Houthi di Riyadh
RIYADH – Sebuah pesawat penumpang milik Saudi Arabian Airlines (Saudia) di Lapangan Terbang Antarabangsa King Khalid di Riyadh rosak teruk dalam serangan peluru berpandu yang didakwa dilancarkan kumpulan Houthi dari Yaman.
Laporan media antarabangsa pada Khamis menyebut pesawat itu berada di kawasan parkir lapangan terbang ketika kejadian, namun punca sebenar kerosakan, termasuk sama ada ia terkena peluru berpandu secara langsung atau serpihan hasil pintasan pertahanan udara, belum dapat dipastikan.
Jurucakap tentera Houthi, Yahya Saree mendakwa, kumpulan itu melancarkan peluru berpandu balistik ke arah lapangan terbang berkenaan dan mendakwa serangan tersebut mengenai sasaran.
Bagaimanapun, dakwaan itu belum dapat disahkan secara bebas. Pihak berkuasa Arab Saudi pula memaklumkan pasukan pertahanan udaranya memintas dua peluru berpandu yang menuju ke Riyadh dan satu lagi yang menghala ke Khamis Mushait.
Menurut kenyataan Pihak Berkuasa Am Penerbangan Awam Arab Saudi, insiden terbaharu itu berlaku selepas beberapa serangan terhadap lapangan terbang di Arab Saudi mengorbankan tiga orang awam dan mencederakan 36 yang lain semalam.
Ketegangan turut menjejaskan operasi penerbangan apabila beberapa syarikat penerbangan antarabangsa, termasuk Lufthansa dan Air India, menggantung atau membatalkan penerbangan ke Riyadh susulan risiko keselamatan yang semakin meningkat.
Kumpulan Houthi sebelum ini turut memberi amaran kepada syarikat penerbangan supaya mengelakkan ruang udara Arab Saudi, selain mengancam untuk menyasarkan kemudahan tenaga di negara berkenaan.
Perkembangan itu berlaku ketika pertempuran antara pasukan kerajaan Yaman yang disokong Arab Saudi dan kumpulan Houthi memuncak, sekali gus meningkatkan kebimbangan terhadap keselamatan penerbangan awam serta kestabilan serantau.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








