BERITA SEMASA

Nazir persoal video TikTok SPRM ketika proses reman

KUALA LUMPUR – Bekas Pengerusi Yayasan Bank Rakyat, Datuk Seri Nazir Hussin Akhtar Hussin mempersoalkan tindakan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) memuat naik video berkaitan proses reman beliau dan abangnya di akaun TikTok rasmi agensi berkenaan.

Menurut Nazir, video itu dimuat naik pada pagi ketika beliau dan Datuk Wira Mubarak Hussain Akhtar Hussin dibawa untuk proses reman.

“Ini akaun rasmi SPRM Malaysia, akaun TikTok rasmi SPRM Malaysia. Ini dipost oleh pihak SPRM sendiri. Pada pagi saya dan abang saya dibawa reman, sedangkan siasatan belum berjalan.

“Pada saya tindakan ini tidak wajar, tidak profesional, khususnya bila melibatkan satu badan penguatkuasa yang kita patut anggap berintegriti tinggi,” katanya pada sidang media berhubung isu tuduhan penyelewengan RM10 juta dana Yayasan Bank Rakyat, di sini hari ini.

Beliau mendakwa video berkenaan turut menggunakan elemen hiburan dan mendapat lebih 700,000 tontonan.

“Ia masih ada di akaun rasmi TikTok SPRM Malaysia,” katanya.

Nazir berkata, tindakan tersebut menimbulkan persoalan mengenai etika serta profesionalisme dalam pengendalian sesuatu kes yang masih dalam siasatan.

Dalam pada itu, beliau berkata, sebelum dibebaskan, beliau diminta supaya tidak mengadakan siaran langsung, sidang media atau bercakap kepada media mengenai apa yang berlaku sepanjang proses siasatan.

Bagaimanapun, beliau berkata, selepas berbincang dengan pihak berkaitan, beliau memilih untuk tampil menjelaskan kedudukannya berhubung dakwaan pelaburan RM10 juta Yayasan Bank Rakyat.

Nazir turut menyeru Peguam Negara supaya meneliti secara menyeluruh fakta, dokumen dan bukti sekiranya kertas siasatan dikemukakan SPRM.

Katanya, beliau yakin siasatan yang dibuat perlu mengambil kira fakta bahawa dana RM10 juta berkenaan didakwa tidak hilang, sebaliknya menghasilkan hibah RM1.85 juta kepada Yayasan Bank Rakyat.

“Saya serahkan kepada Peguam Negara untuk melihat fakta sebenar dan menilai semua bukti yang ada,” katanya.

Beliau pada masa sama menegaskan kesediaannya untuk menghadapi sebarang pertuduhan sekiranya pihak berkuasa mempunyai asas yang kukuh untuk berbuat demikian.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button