JENAYAH & MAHKAMAH

Polis nafi anggota ditikam Orang Asli di Tasik Bera

BERA – Polis menafikan dakwaan tular di media sosial kononnya seorang anggotanya cedera ditikam Orang Asli ketika menjalankan operasi pemantauan keselamatan di Hutan Simpan Kekal (HSK) Ramsar, Tasik Bera, di sini.

Ketua Polis Daerah Bera, Superintendan Zulkiflee Nazir berkata, pihaknya sudah menerima laporan berhubung penyebaran maklumat berkenaan yang dikesan tular sejak semalam, termasuk laporan dibuat di daerah lain.

“Polis menafikan dakwaan berkenaan dan ia adalah kenyataan yang tidak bertanggungjawab.

“Penyebaran kandungan sebegini bukan sahaja berpotensi mendatangkan kegusaran kepada orang ramai, malah boleh mencetuskan insiden keselamatan yang lebih besar serta menjadi tidak terkawal,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Menurutnya, kandungan berkenaan mendakwa seorang anggota polis ditikam ketika menjalankan tugas rondaan serta pemantauan keselamatan di sekitar kawasan terbabit.

Beliau berkata, penyebaran maklumat palsu itu bukan sahaja boleh menimbulkan kegusaran awam, malah berpotensi mencetuskan salah faham terhadap sesuatu komuniti.

Kes disiasat mengikut Seksyen 500 Kanun Keseksaan dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.

Jika sabit kesalahan, individu terbabit boleh dikenakan penjara sehingga dua tahun atau denda atau kedua-duanya sekali.

“Orang ramai khususnya pengguna media sosial dinasihatkan supaya lebih bertanggungjawab dan tidak berkongsi kandungan yang berpotensi mencetuskan salah faham, kebencian serta persepsi negatif terhadap mana-mana individu atau komuniti,” katanya.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button