PMX

Anwar ucap tahniah Harimau Malaya tamatkan Piala ASEAN tanpa kalah, bolos

KUALA LUMPUR – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengucapkan tahniah kepada Harimau Malaya selepas skuad negara menewaskan Vietnam 1-0 dalam penentuan tempat ketiga Piala ASEAN FIFA 2026 di Stadium Gelora Bung Karno (GBK), sebentar tadi.

Kemenangan itu menyaksikan Harimau Malaya meraih tempat ketiga, selain menamatkan saingan Piala ASEAN FIFA 2026 tanpa kalah dan tanpa bolos.

Dalam satu kenyataan, Anwar turut menyampaikan penghargaan kepada seluruh pemain dan barisan kejurulatihan atas kesungguhan serta semangat juang yang ditampilkan sepanjang saingan.

“Syabas dan tahniah kepada Harimau Malaya atas kejayaan menewaskan Vietnam, sekali gus meraih tempat ketiga serta menamatkan saingan FIFA ASEAN Cup tanpa kalah dan tanpa bolos!” katanya menerusi hantaran di Facebook.

Beliau turut merakamkan ucapan terima kasih kepada semua pemain dan barisan kejurulatihan yang berjuang demi mengharumkan nama negara.

“Terima kasih kepada seluruh pemain dan barisan kejurulatihan atas kesungguhan dan semangat juang demi lencana di dada.
“Terus melangkah, terus berjuang dan harumkan nama negara!” katanya.

Dalam pada itu, Anwar secara berseloroh mengingatkan bahawa kejayaan Harimau Malaya itu tidak membawa kepada pengisytiharan cuti umum.

“Nota kaki: Tiada cuti umum ya, termasuk buat warga luar yang bekerja di Malaysia. Esok kerja seperti biasa,” katanya.

Terdahulu, Fergus Tierney muncul wira Harimau Malaya apabila jaringan pada separuh masa kedua membantu Malaysia menewaskan Vietnam.

Kemenangan itu membolehkan skuad bimbingan pengendali sementara, Tan Cheng Hoe menamatkan kempen di tempat ketiga sekali gus memastikan Harimau Malaya tidak pulang dengan tangan kosong selepas terlepas peluang ke final.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button