Permohonan rayuan haji 1448H dibuka 2 Oktober, perlu ada simpanan minimum RM15,000
KUALA LUMPUR – Lembaga Tabung Haji (TH) membuka permohonan rayuan bagi mengerjakan ibadah haji musim 1448H/2027M menerusi aplikasi dan laman sesawang THiJARI mulai 2 Oktober ini.
Pengarah Urusan Kumpulan dan Ketua Pegawai Eksekutif TH, Mustakim Mohamad berkata, pembukaan rayuan lebih awal berbanding musim haji lalu bertujuan memberi ruang kepada bakal jemaah membuat persediaan dari aspek kewangan, kesihatan dan ilmu.
Katanya, jemaah yang berjaya melalui proses rayuan perlu membayar kos haji penuh sebanyak RM33,300 bagi musim 1448H/2027M selaras dengan konsep istito’ah dalam kewajipan menunaikan haji.
“Permohonan ini terbuka kepada pendeposit yang mempunyai simpanan sebanyak RM15,000 dalam akaun TH masing-masing,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Menurutnya, pertimbangan rayuan luar giliran bagi musim haji semasa akan dibuat berdasarkan kriteria serta skor merit, antaranya tempoh pendaftaran haji, umur, purata baki simpanan, konsistensi simpanan, kekerapan membuat rayuan dan kehadiran Kursus Asas Haji anjuran TH.
TH turut memberi keutamaan kepada permohonan rayuan membabitkan mahram, pengiring jemaah warga emas serta pengiring jemaah Orang Kurang Upaya (OKU) yang terpilih.
Kadar bayaran bagi jemaah yang berjaya melalui rayuan mahram atau pengiring pula adalah berdasarkan kadar bayaran yang ditetapkan kepada jemaah tawaran haji giliran semasa yang diiringi, mengikut kumpulan B40, M40 atau T20.
Dalam pada itu, Mustakim berkata TH turut melaksanakan kempen #menujuistitoah dan pelan Seruan Istito’ah bagi membantu pendeposit membuat persediaan haji secara lebih terancang.
Bakal jemaah juga diingatkan supaya melakukan persediaan kesihatan kerana kelulusan permohonan rayuan tertakluk kepada saringan kesihatan.
Mereka turut digalakkan menyertai Kursus Asas Haji yang dianjurkan TH di lebih 200 masjid di seluruh negara bermula 25 September ini bagi memperkukuh pengetahuan berkaitan ibadah haji.
Maklumat, permohonan dan status rayuan boleh disemak menerusi aplikasi THiJARI atau laman sesawang THiJARI.
Untuk maklumat lanjut, orang ramai boleh mengunjungi laman sesawang rasmi TH atau menghubungi Tabung Haji Contact Centre (THCC) di talian 03-6207 1919.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








