BERITA SEMASA

PEERS bukan semata-mata pendidikan seks – Fadhlina

KUALA LUMPUR – Pendidikan Kesihatan Reproduktif dan Sosial (PEERS) bukan semata-mata berkaitan seks, sebaliknya turut membabitkan pendidikan mengenai batas diri, persetujuan serta keselamatan kanak-kanak dan remaja.

Menteri Pendidikan, Datuk Seri Fadhlina Sidek berkata, pengalaman lebih 15 tahun menguruskan Rumah Perlindungan Bayt Al-Rahmah memperlihatkan keperluan untuk anak-anak diberikan pengetahuan yang sesuai sebelum mereka berdepan situasi berisiko.

Menurutnya, sepanjang tempoh itu, beliau bertemu dengan gadis bawah umur, anak-anak yang berdepan kehamilan serta mereka daripada keluarga yang mengalami keganasan rumah tangga.

“Ada yang sampai kepada kami ketika masalah sudah pun berlaku. Ada yang tidak tahu tentang batas diri. Ada yang tidak tahu kepada siapa hendak bertanya.

“Ada juga yang tidak tahu bahawa sebenarnya ada orang yang boleh membantu mereka,” katanya menerusi hantaran di Facebook.

Fadhlina berkata, pengalaman berkenaan sentiasa mengingatkannya bahawa terdapat ilmu yang tidak seharusnya hanya diajar selepas sesuatu kejadian berlaku.

peers
Garis panduan PEERS turut merangkumi aspek pembangunan manusia, hubungan, kemahiran pengurusan diri, perkahwinan dan keluarga, kesihatan serta tingkah laku seksual, selain masyarakat, budaya dan undang-undang.

Beliau berkata demikian ketika berkongsi pandangan pada Seminar Advokasi Pendidikan Kesihatan Reproduktif dan Sosial (PEERS), yang antara lain menekankan kepentingan anak-anak mengenali tubuh sendiri, memahami batas diri dan persetujuan serta mengetahui saluran mendapatkan bantuan apabila berdepan keadaan tidak selamat.

Fadhlina mengakui terdapat ibu bapa yang bimbang anak-anak akan ‘terlalu tahu’ sekiranya pendidikan berkaitan kesihatan reproduktif diperkenalkan atau diperkasakan.

Namun, katanya, kebimbangan berkenaan perlu didengar dan difahami kerana anak-anak kini membesar dalam persekitaran yang berbeza berbanding generasi terdahulu.

“Kalau kita memilih untuk diam, ruang itu tidak semestinya kekal kosong,” katanya.

Beliau menegaskan PEERS tidak bertujuan menghilangkan batas, sebaliknya membantu anak-anak memahami batas yang perlu dijaga bagi melindungi diri.

“PEERS tidak menghilangkan batas. PEERS membantu anak-anak memahami batas,” katanya.

Kementerian Pendidikan sebelum ini memaklumkan modul PEERS akan diperkukuh dalam pelaksanaan Kurikulum Persekolahan 2027. Garis panduan PEERS turut merangkumi aspek pembangunan manusia, hubungan, kemahiran pengurusan diri, perkahwinan dan keluarga, kesihatan serta tingkah laku seksual, selain masyarakat, budaya dan undang-undang.

Pendekatan itu turut selari dengan usaha KPM memperkukuh pendidikan berkaitan gangguan seksual, kesihatan gadis serta sentuhan selamat dan tidak selamat dalam kalangan murid.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button